BSN umum pemenang 'super jutawan', bawa pulang RM2 juta

 Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini mengumumkan pemenang Cabutan Istimewa BSN SSP (Sijil Simpanan Premium) Jutawan ke-12 atau ‘Super Jutawan’ yang menyediakan hadiah berjumlah RM2 juta. Foto Facebook BSN
Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini mengumumkan pemenang Cabutan Istimewa BSN SSP (Sijil Simpanan Premium) Jutawan ke-12 atau ‘Super Jutawan’ yang menyediakan hadiah berjumlah RM2 juta. Foto Facebook BSN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini mengumumkan pemenang Cabutan Istimewa BSN SSP (Sijil Simpanan Premium) Jutawan ke-12 atau ‘Super Jutawan’ yang menyediakan hadiah berjumlah RM2 juta.

Ketua Pegawai Operasi BSN, Kameel Abdul Halim dalam satu kenyataan berkata, pengumuman itu menandakan berakhirnya kempen BSN SSP 2020 dengan jumlah keseluruhan ganjaran bernilai RM23 juta diberikan kepada pemenang bertuah sepanjang tahun lepas.

“Sejak ganjaran RM1 juta diperkenal pada 2014 hingga ke hari ini, seramai 57 penyimpan BSN SSP bergelar jutawan. BSN akan terus melahirkan lebih ramai jutawan melalui Cabutan Istimewa BSN SSP 2021.

“Penawaran ganjaran hebat menggalakkan rakyat Malaysia untuk menyimpan walaupun dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu,” katanya, sambil menambah senarai nama pemenang boleh disemak di laman sesawang www.bsn.com.my atau Facebook @BSN Malaysia.

Kameel berkata, sehingga November lepas, BSN SSP terus mendapat sambutan menggalakkan iaitu 4.07 juta orang penyimpan seluruh negara dengan nilai simpanan sebanyak RM3.87 bilion.

“BSN memperkenalkan cabutan baharu yang menawarkan lebih hadiah iaitu 19,426 bernilai RM31.44 juta dengan peningkatan sebanyak 11,789 hadiah bernilai RM8.44 juta berbanding tahun lepas,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, BSN turut memperkenalkan Cabutan Penyimpan Baharu bermula tahun ini dengan cabutan diadakan pada Mac, Jun, September dan Disember, yang menawarkan hadiah utama iaitu simpanan BSN SSP bernilai RM50,000.

Katanya, tempoh simpanan minimum adalah kurang dari setahun sebelum tarikh cabutan dengan simpanan minimum RM100. - Bernama

Artikel Berkaitan: