Pemuda Pas mahu jumpa Tengku Zafrul mengenai isu kewangan tanpa judi

Tangkap layar hantaran di Facebook Khairil Nizam pada Sabtu.
Tangkap layar hantaran di Facebook Khairil Nizam pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pas memohon untuk mengadakan pertemuan bersama Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi membentangkan penyelesaian mengawal dan mengurangkan aktiviti judi di dalam negara.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, langkah kerajaan menambah kekerapan cabutan khas judi bagi tahun 2021 bukan jalan terbaik menambahkan pendapatan negara.

Katanya, Dewan Pemuda Pas Malaysia bimbang dengan langkah kerajaan menambah kekerapan cabutan khas judi daripada lapan kali setahun pada tahun 2020, kepada 22 kali setahun bermula 2021.

“Sekalipun kekerapan cabutan ini bertujuan menambahkan pendapatan negara dalam usaha mengekang wabak Covid-19, seperti kali pertama ia diperkenalkan pada tahun 1999 ketika wabak virus Nipah, Pemuda Pas berpendapat ia bukan jalan penyelesaian terbaik.

“Judi adalah haram di sisi Islam selain akan menambah lebih banyak masalah sosial dalam kalangan rakyat. Masih ada jalan lain yang boleh digunakan, tanpa perlu menambah kekerapan cabutan ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau yang juga ahli Dewan Negara berkata, Pemuda Pas mencadangkan supaya peruntukan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 ditambah melalui pendapatan sedia ada tanpa perlu meningkatkan kekerapan cabutan khas.

Menurutnya, Pemuda Pas juga mencadangkan kerajaan menggalakkan usahasama bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menampung kos mengekang wabak Covid-19 sebagai menggantikan hasil kutipan daripada cabutan khas judi.

Pada masa sama, beliau turut mengucapkan penghargaan kepada DAP yang membangkitkan isu berkenaan melalui wakilnya iaitu Pengarah Strategiknya, Liew Chin Tong.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau yakin DAP mempunyai aspirasi yang sama bagi memastikan Malaysia bebas daripada judi yang haram dalam Islam serta bakal menyumbang kepada kerosakan dan masalah sosial di dalam negara.

“Justeru, kami berbesar hati mengajak pimpinan DAP, serta parti lain dalam Pakatan Harapan mahupun Perikatan Nasional (PN) untuk bersama-sama membanteras terus segala aktiviti perjudian di Malaysia.

“Semoga Malaysia terus maju di tahun 2021 tanpa judi,” katanya.

Pada 28 Disember, portal Malaysia Dateline melaporkan dakwaan Chin Tong yang menyatakan kerajaan PN telah meningkatkan kekerapan cabutan khas ramalan nombor empat digit daripada 8 kali pada tahun 2020 kepada 22 kali pada tahun 2021.

Dalam laporan sama, beliau menyarankan kerajaan mengikuti langkah yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang telah mengurangkan kekerapan cabutan khas ramalan nombor empat digit daripada 22 kali kepada 8 kali setahun pada tahun 2020.

Jelasnya, majoriti yang terlibat dalam aktiviti perjudian merupakan golongan B40 dan mencuba nasib dalam aktiviti judi dengan harapan boleh memperoleh habuan lumayan.