Dana RM90 juta: SPRM kena siasat Ambiga

Raggie hadir di pejabat SPRM Selangor untuk membuat laporan berhubung isu dana RM90 yang diterima Pas daripada Umno.
Raggie hadir di pejabat SPRM Selangor untuk membuat laporan berhubung isu dana RM90 yang diterima Pas daripada Umno.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta untuk menyiasat bekas Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga berhubung kes dana RM90 juta yang didakwa diterima Pas daripada Umno.

Ketua Pergerakan Malaysiaku Tanah Airku, Raggie Jessy Rithaudeen berkata, sebelum ini, editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown mendakwa bahawa Ambiga telah memberitahunya bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengeluarkan suapan RM90 juta kepada pemimpin tertentu di Pas.

Menurutnya, Clare menyatakan hal ini di dalam satu dokumen yang difailkan di Mahkamah London pada 2017.

"Di dalam dokumen itu juga, Clare telah menuduh saya beberapa kali bahawa saya kononnya adalah agen kepada Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan menggunakan saya untuk membuli Clare menerusi blog The Third Force.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM siasat kes Pas terima dana RM90 juta

"SPRM telah pun buka kertas siasatan berhubung kes dana RM90 juta ini. Kunci siasatan SPRM adalah Ambiga, heret dia dan tanya adakah benar apa yang Clare maklumkan bahawa RM90 juta itu dibayar Najib kepada Pas.

"Ya atau tidak? Saya mahu SPRM gunakan kuasanya untuk Ambiga jawab perkara ini. Kalau dia (Ambiga) jawab ya, dia harus beri bukti, kalau tiada, ternyatalah itu hanya fitnah," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di SPRM Selangor, di sini, hari ini.

Beliau yang juga merupakan penulis blog tiba di SPRM Selangor kira-kira jam 3.20 petang, tadi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau juga akan membuat laporan polis berhubung perkara ini untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

Semalam, SPRM memaklumkan akan memulakan siasatan berhubung kes dana RM90 juta yang didakwa diterima Pas.

Dalam perkembangan lain, beliau juga mendakwa Ambiga juga pernah terlibat dalam satu konspirasi bersama Peguam Negara, Tommy Thomas untuk menjatuhkan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam 'Langkah Kajang'.

Katanya, Tommy Thomas ketika itu merupakan peguam di sebuah bank telah membocorkan maklumat rahsia berkenaan Khalid kepada Ambiga sebelum diberikan kepada orang tertentu di PKR.