Terengganu berdepan banjir gelombang kelima

Anggota APM melakukan tinjauan air pasang besar di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut. - Foto Ihsan APM
Anggota APM melakukan tinjauan air pasang besar di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut. - Foto Ihsan APM
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Terengganu mungkin akan menghadapi banjir gelombang kelima jika fenomena air pasang besar dan angin kencang yang melanda negeri ini sejak Khamis lalu disusuli dengan hujan lebat.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, buat masa ini keadaan masih terkawal dan hanya 36 mangsa di daerah Besut yang dipindahkan susulan fenomena air pasang besar.

"Sekarang ini kita dalam tempoh amaran waspada (kuning) dengan hujan lebat dijangka berlaku sehingga esok (3 Januari), mengikut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia.

"Jika hujan lebat berlaku disertai air pasang besar, kebarangkalian banjir fasa kelima sangat tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman
Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman

Che Adam berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana banjir.

Katanya, ketika ini, angin kuat dan ombak besar masih membadai sebahagian pantai di Kuala Terengganu, Besut, Kemaman dan Dungun.

"Fenomena air pasang besar ini lazimnya berlaku pada tengah malam sehingga awal pagi.

Artikel Berkaitan:

"Pihak berkuasa akan terus melakukan pemantauan dan rondaan di pantai yang menjadi tumpuan ramai kerana dikhuatiri boleh mengancam keselamatan mereka," katanya.