'Pulangkan semula kerusi lompat kepada UMNO'

Azhar ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Beruas di Pejabat UMNO Bahagian Beruas di sini pada Sabtu.
Azhar ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Beruas di Pejabat UMNO Bahagian Beruas di sini pada Sabtu.
A
A
A

BERUAS - UMNO perlu meletakkan tiga syarat utama kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) jika parti itu mahu meneruskan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, syarat pertama yang perlu dipenuhi ialah memulangkan semua kerusi wakil rakyat yang melompat kepada Bersatu pada PRU14 lalu.

Beliau turut memberi contoh kerusi yang harus dipulangkan termasuk Parlimen Bukit Gantang, Parlimen Larut dan Parlimen Bagan Serai kerana sebelum ini memang dimenangi oleh UMNO.

"Kalau semua kerusi lompat ini dikembalikan kepada UMNO, kita akan terima dengan hati yang terbuka, maka UMNO boleh berbincang mengenai langkah seterusnya.

"UMNO boleh terima kerjasama tetapi dengan beberapa syarat. Kita bukanlah parti yang keras sangat menolak sesuatu parti itu asalkan perlembagaan mereka tidak lari dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Beruas, di Pejabat UMNO Bahagian Beruas pada Sabtu.

Azhar berkata, syarat kedua pula, Bersatu perlu menghentikan usaha memujuk ahli UMNO menyertai mereka dengan memberikan pelbagai tawaran.

Katanya, usaha 'mencuri' ahli UMNO sedang giat berlaku bukan sahaja di seluruh negara tetapi di Bahagian Beruas apabila Bersatu Bahagian Beruas mempengaruhi ahli UMNO menyertai parti berkenaan.

Selain itu, beliau turut meminta Bersatu menghentikan perbuatan yang disifatkan menikam belakang dengan mengheret cawangan UMNO mengadakan program bersama mereka.

Artikel Berkaitan:

"Perkara seperti ini menyakitkan hati pemimpin UMNO. Jika syarat ini dapat dipenuhi, UMNO boleh menerima parti ini kerana UMNO merupakan parti yang sangat bertolak ansur.

"Sekiranya ada tolak ansur baharu saya yakin perkara ini boleh diselesaikan malah kita akui bukan mudah untuk Barisan Nasional (BN) bertanding berseorangan tanpa gabungan dan berhadapan tiga penjuru," katanya.

Dalam pada itu, Azhar turut mengingatkan pemimpin UMNO untuk membuat penelitian dan analisis terlebih dahulu sebelum menyokong sesuatu keputusan demi masa depan politik bangsa Melayu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tarik semula tuduhan Bersatu ‘curi’ dan ‘beli’ ahli UMNO: Saiful