PBPM cadang wujudkan kementerian baharu untuk PDRM

Hussin (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Wan Romani selepas merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Kedah ke-40 di Alor Setar.
Hussin (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Wan Romani selepas merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Kedah ke-40 di Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) mencadangkan agar kerajaan mewujudkan sebuah kementerian baharu untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Presiden PBPM, Hussin Awang Ngah berkata, kementerian itu boleh dinamakan sebagai Kementerian Keselamatan Negeri bagi memisahkan peranan PDRM yang kini diletakkan bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurutnya, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula peranan besar yang dimainkan oleh PDRM dan ia adalah suatu keperluan masa kini untuk diwujudkan kementerian khas berkenaan.

“Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi diasingkan, kenapa tidak dengan KDN dan keselamatan negeri. PBPM cadangkan PDRM diletakkan bawah kementerian khas iaitu Kementerian Keselamatan Negeri kerana ia berkaitan dengan hal keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Mesyuarat Agong Tahunan Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Kedah ke-40 di sini yang dirasmikan Exco Kedah, Wan Romani Wan Salim.

Hussin ketika berucap pada Mesyuarat Agong Tahunan Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Kedah ke-40 di sebuah hotel di Alor Setar.
Hussin ketika berucap pada Mesyuarat Agong Tahunan Persatuan Bekas Polis Malaysia Negeri Kedah ke-40 di sebuah hotel di Alor Setar.

Hussin berkata, KDN boleh terus kekal dianggotai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran dan Jabatan Penjara.

“PDRM mempunyai tanggungjawab besar, sekiranya dipisahkan peranan bawah KDN, PDRM akan lebih maju dan setanding Kementerian Pertahanan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan juga wajar mewujudkan jabatan veteran polis bawah pentadbiran KDN seumpama Jabatan Hal Ehwal Veteran, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bawah Kementerian Pertahanan.

“Dengan adanya jabatan ini, memudahkan untuk selia dan selaraskan kebajikan pesara polis sama ada berpencen atau tidak berpencen. Apabila diwujudkan jabatan ini, peruntukan akan disalurkan untuk anggotanya.

"Disebabkan itu, kemajuan atau kebajikan pesara tentera adalah lebih baik berbanding pesara polis kerana dinaungi kementerian dan diberikan peruntukan tahunan untuk urus tadbir persatuan serta kebajikan ahli,” katanya.

Hussin berkata, PBPM merupakan persatuan yang pertama ditubuhkan dalam negara pada 1972 dengan keahlian kini mencecah 140,000 di seluruh negeri dan mempunyai 140 cawangan.

“PBPM juga mohon diberikan geran agar nasib ahli lebih terbela. Pada peringkat awal, kita diberikan RM200,000 setahun sehingga tahun 2005, sebelum peruntukan itu dibatalkan.

"Pada 2008, kerajaan peruntukan geran pentadbiran RM500,000, namun selepas itu hingga kini PBPM tidak lagi menerima dana,” katanya.

Hussin ketika ditemubual Sinar Harian.
Hussin ketika ditemubual Sinar Harian.

Menurutnya, pihaknya turut berharap bekas polis diberikan bantuan sara hidup seperti dinikmati golongan petani dan nelayan.

“Kenapa tidak berikan imbuhan bulanan sebagai penghargaan kepada bekas pejuang negara yang tiada pencen, mereka yang terima pencen tidak berdepan masalah,” katanya.

Katanya, beliau akan mengemukakan kesemua cadangan itu kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pertemuan yang dijangka diadakan pada minggu depan.