Nelayan hilang: MRSC Kuantan sambung operasi di Pulau Perhentian

Salah seorang daripada empat mangsa bot karam di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu yang berjaya diselamatkan dalam operasi carilamat pada Jumaat.
Salah seorang daripada empat mangsa bot karam di Pulau Perhentian, Besut, Terengganu yang berjaya diselamatkan dalam operasi carilamat pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan meneruskan operasi carilamat mangsa bot karam yang masih hilang di perairan Pulau Perhentian, Besut Terengganu pada Sabtu.

Operasi berkenaan disambung pada jam 7 pagi selepas ditangguhkan jam 7 petang pada Jumaat ekoran cuaca buruk.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Pahang, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, sebagai persiapan menghadapi cuaca buruk, Kapal Maritim (KM) Tok Bali diatur gerak ke lokasi pencarian menggantikan KM Amanah yang terpaksa berlindung di Pulau Perhentian akibat cuaca buruk.

"Keadaan laut masih bergelora dengan ketinggian ombak tiga hingga empat meter menyukarkan pencarian.

"Operasi tetap diteruskan melalui pemantauan udara menggunakan pesawat AW139 Maritim Malaysia yang berlepas ke sektor pencarian jam 8.31 pagi tadi manakala dua bot nelayan tempatan turut membantu," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Muhamad Suhairy berkata, pesawat EC725 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka membantu pada jam 2 petang ini.

"Aset-aset terlibat dalam operasi pada hari kedua akan memberi tumpuan pencarian mengikut sektor bagi memastikan pencarian mangsa dilakukan secara menyeluruh," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu yakin anak masih hidup

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 15 jam bertarung nyawa berenang selamatkan diri

Beliau berkata, operasi carilamat mangsa, Asaari Leh, 46, pada Jumaat gagal menemui sebarang petunjuk sehingga operasi ditangguhkan jam 7 petang.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, bot yang dinaiki mangsa bersama empat rakan karam di kedudukan 4 batu nautika barat daya Pulau Perhentian, Besut, Terengganu.

Empat rakannya, Tuan Azhar Tenku Long,47 (Tekong), Tuan Azrizal Tuan Azhar,19, Mohd Azri Mohd Rasdi, 28 dan Norizan Yusof, 45, berjaya diselamatkan.

Muhamad Suhairy berkata, operasi carilamat yang diterajui Maritim Malaysia diluaskan dalam radius pencarian lima batu nautika sekitar Tanjung Basi pada Jumaat.

"Maritim Malaysia mengatur gerak dua aset laut, KM Amanah dan Bot KILAT 44 serta pesawat AW139 dibantu pesawat TUDM EC 725 yang berpangkalan di Gong Kedak serta pesawat AW189 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM)," katanya.

Tambah beliau, pada operasi semalam, pesawat AW189 JBPM tidak dapat meneruskan tugas pencarian di Tanjung Basi, Pulau Perhentian dan terpaksa berpatah balik disebabkan cuaca buruk.

"Tugas itu diambil alih pesawat TUDM EC 725 yang diterbangkan daripada Pangkalan Udara Gong Kedak dan selesai tugas pada jam 5.02 petang.

"Pesawat AW139 Maritim Malaysia memasuki sektor pada jam 5.55 petang dan terpaksa menamatkan pencarian pada jam 6.39 petang akibat cuaca buruk.