[DIKEMASKINI] Tragedi Jeti Triso: Jeti feri akan dilengkapi palang penghadang kukuh

Laporan Sinar Harian Tahun mengenai sembilan lemas termasuk seorang bayi dan seorang kanak-kanak lelaki selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terhumban ke dalam Sungai Batang Lupar di Jeti Feri Triso pada petang Jumaat.
Laporan Sinar Harian Tahun mengenai sembilan lemas termasuk seorang bayi dan seorang kanak-kanak lelaki selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terhumban ke dalam Sungai Batang Lupar di Jeti Feri Triso pada petang Jumaat.
A
A
A

KUCHING - [DIKEMASKINI] Semua laluan khas yang disediakan di jeti bagi kenderaan menaiki atau turun dari feri akan dilengkapi dengan palang penghadang yang kukuh pada bahagian tepinya berkuat kuasa serta-merta bagi mengelak kejadian kenderaan terjatuh ke dalam sungai seperti yang berlaku pada Jumaat, berulang.

Dalam kejadian pada Jumaat, sembilan maut selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda terjatuh ke dalam sungai Batang Lupar di jeti feri Triso, kira-kira 120 kilometer dari sini semasa berada di jeti berkenaan untuk menaiki feri.

Timbalan Ketua Menteri II Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak berkata, Jabatan Kerja Raya Negeri telah diarahkan untuk mula membina penghadang itu dengan segera.

"Dengan palang penghadang yang kukuh, tiada kenderaan yang boleh jatuh (semasa menaiki atau turun dari feri). Ini akan dilaksanakan dengan segera. Perlu faham, bahawa dalam kejadian semalam (Jumaat) kenderaan itu jatuh dari kawasan tempat feri berlabuh, bukannya jatuh dari feri (sebagaimana yang disangka ramai),” katanya semasa melawat tempat insiden berkenaan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sembilan lemas pacuan empat roda terjunam

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang Jumaat, sembilan orang termasuk bayi berumur empat bulan maut apabila kenderaan yang dinaiki hilang kawalan dan jatuh ke dalam sungai di sekitar kawasan jeti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mereka terdiri daripada pemandu, Ronany Ting, 33, penumpang Siti Aisha Abdullah, 36, Nor Shuhada Mohamad, 16, Khairunnisa Muhamad, 14 dan Alvin Phang, 12, Wallace Phang, 7, Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7, Muhd Mustaqim Mohd Hamdan, 5, dan Mohd Ahmad Mohd Hamdan yang berumur empat bulan.

Masing berkata, tragedi itu mengingatkan semua pengguna feri betapa pentingnya untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan rapi apabila menggunakan kemudahan disediakan dan yang telah ditetapkan sejak perkhidmatan itu mulai beroperasi lagi.

Beliau berkata, antara SOP ialah semua penumpang dikehendaki turun daripada kenderaan sebelum kenderaan dipandu melalui laluan disediakan untuk masuk ke dalam feri dan hanya masuk kembali masuk ke dalam kenderaan itu apabila kenderaan telah dipandu keluar dari feri berkenaan.

“Kita perlu kuat kuasa semua SOP yang diperkenalkan sejak sekian lama ini,” katanya sambil menggesa supaya semua pengguna sentiasa mematuhi arahan pengawal feri sepanjang masa, semasa hendak menggunakan perkhidmatan feri.

Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM3 bilion untuk membina jambatan melintasi sungai-sungai yang terdapat di Laluan Utama Kedua (second trunk road) yang menghubungkan semua kawasan pesisir pantai di Sarawak.

“Kerajaan negeri terpaksa menyediakan dana (bagi membina jambatan) apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) Persekutuan sebelum ini membatalkan semua projek pembinaan jambatan itu. Projek jambatan Batang Lupar melibatkan kos RM848 juta (bagi menggantikan perkhidmatan feri Triso) dan kita sedang membinanya sekarang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi Jeti Triso: Siti Aishah berkeras hantar anak kembali ke madrasah

Masing berkata, kerajaan negeri sedia melaksanakan projek pembinaan jambatan kerana ia sedar betapa pentingnya infrastruktur itu kepada rakyat Sarawak, walaupun kerajaan PH telah membatalkan peruntukan pembinaannya.

“Jambatan ini amat penting kepada kira (rakyat Sarawak) dan kita telah memutuskan untuk menggunakan dana negeri bagi memastikan jambatan-jambatan ini siap menjelang tahun 2025 atau 2026,” katanya.

Siasatan setakat ini mendedahkan bahawa kejadian berkenaan adalah kemalangan kendiri dan menurutnya, kerajaan bersedih dengan tragedi itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Katanya, beliau turut menghargai keprihatinan yang ditunjukkan oleh orang ramai di kawasan kejadian sehingga ada yang sanggup terjun ke dalam sungai itu dalam usaha menyelamatkan mangsa tanpa menunggu ketibaan anggota penyelamat.

“Ini menunjukkan bahawa di Sarawak, kira ambil berat antara satu sama lain, mereka cuba melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan (mangsa). Kepada mereka, saya ucapkan terima kasih, kita amat menghargai usaha mereka untuk membantu,” katanya. - Bernama