Masih degil berkunjung ke pusat hiburan

Polis menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Tun H S Lee, Kuala Lumpur yang beroperasi ketika PKPB.
Polis menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan Tun H S Lee, Kuala Lumpur yang beroperasi ketika PKPB.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kedegilan 48 individu mengunjungi sebuah pusat hiburan di Jalan Tun H S Lee di sini, awal pagi Jumaat, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengundang padah selepas premis itu diserbu polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu dilakukan kira-kira jam 2 pagi.

Menurutnya, seramai 48 orang pengunjung yang terdiri daripada 17 orang warga tempatan dan 31 orang warga asing berumur lingkungan 20 hingga 45 tahun telah diperiksa.

"Seramai 17 pengunjung warga tempatan dikompaun mengikut Peraturan 13 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No 9) 2020.

"Sementara 31 pengunjung warga asing pula telah ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 56(1)(I) akta yang sama," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pihaknya memberi amaran kepada orang ramai, warga asing dan pengusaha pusat hiburan supaya terus mematuhi PKPB.

Katanya, individu yang tidak mematuhi perintah ini akan dikenakan tindakan di bawah peruntukan undang-undang yang masih berkuat kuasa.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perlanggaran PKPB boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran.

Artikel Berkaitan: