Batal HSR: Pemuda UMNO minta penjelasan kerajaan

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pemuda UMNO kecewa dengan keputusan kerajaan Malaysia dan Singapura kerana membatalkan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pembatalan projek infrastruktur berimpak tinggi dan mempunyai kesan gandaan ekonomi seperti HSR merupakan satu langkah ke belakang dan 'counter-productive' dalam usaha pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

Beliau turut menyifatkan tindakan kerajaan Malaysia satu kegagalan besar awal bagi tahun 2021 kerana menongkah arus tren pembangunan ekonomi semasa negara-negara jiran di rantau ini.

"Bagi Pemuda UMNO, lima sebab utama mengapa keputusan membatalkan projek HSR ini adalah satu kesilapan dan kegagalan, antaranya Malaysia dianggarkan akan kehilangan sebanyak RM209 bilion dalam pendapatan kasar negara (PNK) dan potensi 70,000 peluang pekerjaan jika HSR dibatalkan.

"Pusat Penyelidikan Institute of Developing Economies, Japan External Trade Organisation (IDE-JETRO) turut menyatakan bahawa HSR akan memberikan impak nilai AS$1 billion (RM4 bilion) terhadap ekonomi kepada Malaysia setiap tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: [DIKEMASKINI] Projek kereta api laju HSR batal

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu katanya, pembatalan HSR akan menjejaskan visi besar untuk transformasi ekonomi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi (high income nation) yang bakal dinikmati rakyat dengan pembukaan kluster pembangunan baharu sepanjang jajaran HSR melalui konsep Pembangunan Berasaskan Transit (Transit Oriented Development).

"Bayangkan kemajuan yang bakal terhasil di kawasan-kawasan seperti Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri selepas ini," katanya.

Katanya, HSR dapat mengurangkan tempoh perjalanan di antara Malaysia-Singapura sehingga 90 minit mengelakkan kesibukan aliran trafik udara antara dua negara ini.

Menurutnya, mengikut rekod perjalanan udara antara Malaysia dan Singapura adalah antara aliran udara yang tersibuk di dalam dunia dengan lebih 30,000 penerbangan dicatatkan pada 2017.

Selain itu, katanya, pembatalan projek itu juga akan memberi isyarat yang salah kepada pelabur domestik dan asing bahawa Malaysia tidak komited terhadap perancangan pembangunan negara dan serantau.

"Ini bakal merencatkan kemasukan pelaburan baharu yang akan memberi manfaat dan nilai tambah kepada ekonomi rakyat dan negara," katanya.

Beliau berkata, sebab kelima ialah projek HSR sebagai penanda aras utama kemajuan dan pembangunan di rantau ASEAN.

"Jika dilaksanakan, projek ini menjadi laluan rel kereta api berkelajuan tinggi rentas sempadan pertama di rantau ini. Laporan Infrastruktur Global 2016 pernah menilainya sebagai projek infrastruktur strategik terbaik di dunia dari segi sumbangan terhadap produktiviti, daya saing, dan kesinambungan ekonomi serantau," katanya.

Justeru, Pemuda UMNO mendesak kerajaan Malaysia memberi penjelasan yang lebih kukuh berbanding alasan simplistik kerana pandemik Covid-19.

"Pemuda UMNO juga menuntut kerajaan menjelaskan kebenaran berita yang tular di media massa bahawa projek ini bakal digantikan dengan melantik secara rundingan terus kepada sebuah syarikat kroni swasta di atas jajaran HSR yang tamat di Johor Bahru sahaja tetapi dengan kos hampir sama," katanya.

Terdahulu, Malaysia dan Singapura memutuskan projek HSR dibatalkan selepas tempoh penangguhan projek itu berakhir pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan tamat projek HSR tepat, utamakan keperluan semasa

Pembatalan HSR satu kerugian: Khaled Nordin