Pimpinan muda sedia jadi ejen perubahan kerajaan

Abdul Hadi (kiri) bersama Khairil Nizam (tengah) dan Wan Ahmad Fayhsal semasa program Townhall 2 Senator Muda di Mydin Taman Batik pada Jumaat.
Abdul Hadi (kiri) bersama Khairil Nizam (tengah) dan Wan Ahmad Fayhsal semasa program Townhall 2 Senator Muda di Mydin Taman Batik pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pimpinan muda Perikatan Nasional (PN) bersedia menjadi ejen perubahan kerajaan dalam menjalinkan kolaboratif dengan pembangkang untuk memberi wajah baharu lebih dinamik kepada arena politik negara.

Ahli Dewan Negara yang juga Ketua Pemuda PN, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin membayangkan sekiranya pemimpin muda kerajaan dan pembangkang bersedia menjalinkan kerjasama tanpa memikirkan kepentingan politik, sudah pasti ia mampu memberi kelegaan buat rakyat khususnya belia di Malaysia.

Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas berkata, sesuai dengan kehadiran tahun baharu 2021 melalui harapan dan hala tuju baharu, pihaknya berharap kerajaan dan pembangkang di peringkat kepimpinan muda, mampu berganding bahu bagi menyelesaikan sesuatu isu.

“Sekiranya kita masih lagi ambil pendekatan politik cara lama iaitu berkonfrontasi sepanjang masa, itu cara politik zaman dahulu. Zaman sekarang, sama ada kerajaan atau pembangkang, kita semua perlu bersatu terutama ketika berdepan pandemik Covid-19.

"Kalau kita masih memikirkan kepentingan berpolitik, rakyat yang akan menderita,” katanya ketika menjadi panel jemputan Townhall 2 Senator Muda di Mydin Taman Batik di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua Armada Nasional, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sebagai panel jemputan kedua.

Menurut Khairil Nizam, bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara, pemimpin kerajaan dan pembangkang harus berfikiran matang dalam berpolitik.

“Pembangkang tetap akan menjadi ejen 'check and balance' dan mereka ada ruang untuk menyatakan perkara ini dalam Parlimen dan Dewan Negara tetapi apabila berada di luar, sewajarnya kerajaan dan pembangkang berganding bahu memberikan ketenangan dan kesenangan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Cadangan saya dan Pemuda PN, cukuplah berpolitik, fokus kepada menjaga rakyat. Kita di peringkat anak muda mesti tunjuk kepada pemimpin, jangan lagi bertembung sebaliknya boleh berbincang dan berjumpa.

“Sebab saya yakin pendekatan di peringkat Kementerian Belia dan Sukan juga sama dalam isu membabitkan kepimpinan belia,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya cadangan itu mampu dilaksanakan, ia akan memberi wajah baharu yang lebih dinamik kepada politik Malaysia.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal turut mengharapkan agar pemimpin belia di negara ini diberi ruang dan peluang dalam usaha melahirkan barisan kepimpinan berkaliber, berdaya saing serta berwibawa.

“Saya harap tahun 2021 sepertimana Ketua Pemuda PN hasratkan agar kita mahu politik matang dalam kalangan anak muda.

“Biarlah anak muda mencorak perjalanan politik negara berbanding orang lama yang mungkin lebih mengutamakan pergeseran berbanding kesatuan. Itu harapan saya,” jelasnya.

Townhall 2 Senator Muda yang disiarkan secara langsung di Facebook Jabatan Profesional Muda DPPM - JPro itu dikendalikan oleh moderator Abdul Hadi Omar yang merupakan Ketua Pegawai Operasi Urus Setia Penerangan Darul Aman merangkap Ketua Penerangan Pemuda Pas Kedah.