Jangan sebar gambar, video mangsa lemas di media Sosial: Julaihi

Sembilan orang termasuk seorang bayi dan seorang kanak-kanak lelaki, lemas selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terhumban ke dalam Sungai Batang Lupar di Jeti Feri Triso semalam. Gambar kecil: Julaihi
Sembilan orang termasuk seorang bayi dan seorang kanak-kanak lelaki, lemas selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terhumban ke dalam Sungai Batang Lupar di Jeti Feri Triso semalam. Gambar kecil: Julaihi
A
A
A

KUCHING - Susulan tragedi yang mengorbankan sembilan sekeluarga selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) terjunam ke dalam sungai di Pangkalan Feri Triso, Sungai Batang Lupar pada Jumaat, Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur Sarawak, Datuk Julaihi Narawi memohon orang ramai agar tidak menyebarkan gambar atau video mangsa di media sosial.

“Saya merayu dan memohon orang ramai (agar) tidak menyebarkan gambar atau video mangsa (di media sosial) bagi menghormati keluarga mangsa,” kata Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sebuyau di mana kejadian itu berlaku.

Julaihi dalam satu kenyataan pada Sabtu turut menyatakan kesedihannya dengan tragedi itu yang telah mengorbankan semua mangsa selepas kenderaan 4WD itu dipercayai hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam sungai.

Dalam kenyataan itu, Julaihi turut mengesahkan beliau akan mengiringi Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing melawat lokasi kejadian itu pada Sabtu.

Lawatan itu turut disertai pegawai kanan dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.

Kenderaan malang jenis 4WD jenis Ford Ranger itu dipandu seorang wanita, Ronany Ting, 33, yang dikatakan dalam perjalanan dari Kapit menuju ke Kuching menggunakan Jalan Beladin-Meludam sebelum kejadian kira-kira jam 3 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Sembilan lemas pacuan empat roda terjunam

Selain pemandu kenderaan 4WD itu, turut terkorban adalah penumpang Siti Aisha Abdullah, 36, tiga remaja yang dikenal pasti sebagai Nor Shuhada Mohamad, 16 (perempuan); Khairunnisa Muhamad, 14 (perempuan); Alvin Phang, 12 (lelaki) dan tiga kanak-kanak lelaki iaitu Wallace Phang, 7; Mohd Aiman Mohd Hamdan, 7 dan Muhd Mustaqim Mohd Hamdan, 5.

Artikel Berkaitan:

Tragedi itu turut meragut nyawa seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang dikenal pasti sebagai Mohd Ahmad Mohd Hamdan.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dijangka akan ke Sri Aman di mana kesemua mangsa dikatakan akan menjalani bedah siasat di hospital di sana.

Menurut seorang daripada pegawainya, Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit dimaklumkan enam daripada mangsa itu dijangka akan dikebumikan di Sri Aman. - Bernama