Ijazah palsu: Lagi laporan polis dibuat

Muhsin menunjukkan laporan polis yang dibuat dan salinan laporan dari sebuah portal yang diserahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.
Muhsin menunjukkan laporan polis yang dibuat dan salinan laporan dari sebuah portal yang diserahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.
A
A
A

GEORGETOWN - Satu laporan polis dibuat terhadap Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berhubung tuduhan memiliki ijazah sarjana muda palsu.

Laporan kedua pada minggu ini berkenaan dibuat aktivis politik, Muhsin Abdul Latheef di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di sini, hari ini selepas mendapati kenyataan Marzuki mengelirukan dan sering berubah-ubah dalam tempoh yang singkat.

Menurutnya, polis perlu menyiasat kesahihan kenyataan Marzuki itu supaya rakyat Malaysia tidak terus tertipu.

“Saya buat laporan polis kerana ragu dengan kenyataan Marzuki sebelum ini. Adakah dia pemegang Ijazah Muda Pengurusan Perniagaan yang diperoleh dari Universiti Cambridge melalui program pengajian jarak jauh (PJJ) atau dari Universiti Antarabangsa Cambridge yang berpusat di Amerika Syarikat.

“Laporan saya ini meminta polis menyiasat kerana ia amat mengelirukan. Selain itu, di laman Wikipedia Marzuki juga didapati sudah disunting selepas isu ini hangat diperkatakan,” katanya kepada media, hari ini.

Muhsin berkata, carian di laman web Universiti Antarabangsa Cambridge Amerika Syarikat mendapati tidak tersenarai dalam institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh kerajaan British.

“Saya tertanya-tanya, adakah institusi yang tidak diiktiraf oleh negara luar akan diiktiraf di negara kita? Adakah sijil dari institusi itu sah atau tidak? Lebih mengejutkan, di laman web itu juga ada tertera cara pembelian sijil dengan harga AS$9,000 bagi PHD.

“Jadi, saya menggesa Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pertimbangkan jawatan Marzuki sebagai timbalan menteri dan Pengerusi Bersatu Pulau Pinang. Saya fikir, lebih baik Marzuki letak jawatan daripada terus menipu rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Amat memalukan apabila negara mempunyai seorang timbalan menteri dalam Malaysia Baru yang mempunyai sijil ijazah palsu. Ia akan memberi imej buruk kepada negara kita nanti,” katanya.

Muhsin berkata, dalam laporan polis tersebut, dia turut menyerahkan salinan berita dari sebuah portal mengenai semua kenyataan Marzuki berhubung isu tersebut bagi siasatan dijalankan.

Sebelum ini, Muhsin membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook yang mendakwa program PJJ bagi kursus pentadbiran perniagaan yang diikuti Marzuki itu tidak wujud di Universiti Cambridge.

Sehubungan itu, Marzuki dalam sebuah portal dilaporkan menjelaskan bahawa ijazah dalam pentadbiran perniagaan beliau adalah dari Universiti Antarabangsa Cambridge yang berpusat di Amerika Syarikat dan bukan Universiti Cambridge di United Kingdom.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat dakwaan beliau menipu berhubung kelulusan Ijazah Sarjana Muda daripada Universiti Cambridge.

Marzuki juga dilaporkan berkata, beliau akan mengemukakan bukti pernah mengikuti kursus dalam bidang pentadbiran perniagaan di universiti berkenaan.