Kejohanan simulasi dedah kelemahan pemanah

Suresh telah melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo tahun ini.
Suresh telah melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo tahun ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa kelemahan skuad memanah para negara dapat dikenal pasti melalui penyertaan mereka dalam Kejohanan Simulasi di Lapang Sasar Memanah, Bukit Jalil baru-baru ini.

Jurulatih skuad memanah para negara Marzuki Zakaria berkata, masalah ketahanan mental serta tidak konsisten dari segi teknik panahan antara kelemahan ketara yang dikenal pasti pada kejohanan anjuran bersama Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) itu.

Bagaimanapun, beliau percaya skuad memanah para negara mampu bangkit dalam beberapa kejohanan tahun ini sebelum menghadapi saingan sebenar pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan berlangsung dari 24 Ogos hingga 5 September.

"Untuk kejohanan ini (kejohanan simulasi), masih terdapat pekara yang kita perlu baiki dari segi psikologi, kekurangan teknik serta kurangnya kejohanan (akibat pandemik Covid-19), mempengaruhi persembahan atlet kita pada kejohanan berkenaan,” katanya kepada Bernama.

"Walaupun terdapat peningkatan dari segi jumlah markah, kita tidak meletakkan itu sebagai satu penanda aras kerana kita berpandangan terdapat perkara lain yang lebih mustahak perlu perbaiki,” tegas Marzuki.

Pada kejohanan itu, S Suresh, yang telah layak ke Sukan Paralimpik Tokyo, menepati ramalan selepas mengatasi rakan sepasukan, Hasihin Sanawi dalam acara recurve terbuka lelaki akhir.

Pemanah muda para negara, Daneshen Govinda Rajan pula mencipta kejutan selepas menewaskan seorang lagi atlet yang layak ke Tokyo, Wiro Julin dalam acara compound terbuka lelaki.

Suresh layak ke Tokyo selepas muncul juara acara recurve lelaki Kejohanan Memanah Para Dunia 2019 di Hertogenbosch, Belanda manakala Wiro pula menempah tiket ke Tokyo selepas meraih pingat perak acara compound lelaki pada Kejohanan Kelayakan Benua Asia 2019 di Bangkok, Thailand.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Marzuki memaklumkan beliau masih menunggu kata putus MSN dan NAAM berhubung penyertaan skuad memanah para negara dalam beberapa kejohanan antarabangsa tahun ini sebagai persediaan menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Penyertaan pemanah para negara dalam kejohanan antarabangsa itu menjadi pengukur prestasi semasa mereka sebelum menghadapi saingan sebenar di Tokyo nanti, katanya. - Bernama