Kebodohan guna akal sahaja

A
A
A

BARU-baru ini saya menerima satu e-mel yang bertajuk ‘Kebodohan menggunakan akal sahaja’. Ia merujuk kepada artikel yang saya tulis sebelum ini. Tajuk e-mel itu sendiri melambangkan penulisnya tidak bersetuju kita menggunakan akal semata-mata.

Saya tertanya-tanya juga akan tajuk e-mel ini. Kalau tidak menggunakan akal semata-mata, kita hendak menggunakan apa lagi? Akal ialah anugerah Tuhan kepada kita yang duduk letaknya pun di atas, yakni kepala bukan di kaki.

Pepatah Melayu lama pun banyak yang menyebut tentang akal ini. Salah satunya ialah kelebihan ikan, radai, kelebihan manusia, akal. Dan akal ini juga boleh menjadi akal jahat dan juga akal baik, contohnya kata pepatah lama lagi, main akal.

Jadi saya tidak berapa setuju juga dengan tajuk e-mel yang ditulis oleh orang yang namanya mempunyai maksud Hamba ALLAH ini. Sudah semestinya kita perlukan akal untuk memahami sesuatu. Faham agama itu sendiri terletak di wilayah akal.

Kalau hendak memetik kata-kata ulama pun banyak juga yang menyatakan akan kepentingan akal ini. Contohnya dalam kitab Ajaib al-qalb yang dinukilkan oleh Imam Ghazali, yang merujuk kepada empat perkara akan kepentingan akal ini.

Pertama, untuk membezakan manusia daripada makhluk lain. Kedua, ialah katanya beliau lagi, ilmu daruri, atau ‘ilmu yang pasti’ datang pada diri seseorang. Ketiga, akal yang merujuk kepada pengalaman hidup dan yang keempat, akal itu merujuk kepada kekuatan dalam diri untuk mengetahui yang mana buruk yang mana baik.

Tidak perlulah saya menjelaskan secara terperinci, penjelasan yang telah jelas itu. Akal boleh berfikir tentangnya kerana ia nikmat kurniaan Tuhan yang besar kepada kita sebagai manusia yang diberi amanah untuk menjadi khalifah di muka bumi.

Mungkin penulis e-mel itu bermaksud agaknya, tidak boleh menggunakan akal semata-mata, merujuk kepada mereka yang tidak mahu berfikir tetapi taksub semata-mata. Mungkin begitu maksudnya.

Artikel Berkaitan:

Dan mungkin juga pada pendapat penulis e-mel itu lagi, tidak perlu berfikir dan bertanya itu dan ini lagi kepada orang yang gah itu, disebabkan orang yang gah itu bukan calang-calang orang. Lagipun orang yang gah itu ahli dalam bidangnya.Selidik

Tetapi harus diingat juga, Tuhan memberi kita akal bukan untuk menerima sahaja bulat-bulat apa yang disuakan kepada kita, tetapi perlulah difikir dan diselidik untuk mencari kebenaran yang hakiki.

Bak kata sarjana bijak pandai lagi, kita sebagai manusia ciptaan Tuhan yang istimewa ini perlu bersifat kritis. Dengan kritis kita tahu apa yang kita perlu lakukan.

Penulis e-mel ini lagi, ada juga memberitahu saya bahawa apabila beliau membaca perenggan awal dalam artikel saya, terasa hendak muntah pula. Maka katanya lagi, dia terus melangkau ke perenggan akhir.

Daripada tindak tanduknya ini, beliau juga telah memberi kesimpulan yang bermacam-macam pula tentang saya. Maka beliau telah membuktikan kepada saya yang beliau tidak mengunakan akal semata-mata, tetapi akal yang dicampur dengan emosi pula.

Namun begitu saya tidaklah berkecil hati dengan penulis e-mel in. Lagipun beliau berhak memberi pandangannya.

Saya juga berterima kasih kerana di sebalik penulisan e-mel beliau itu, ada beberapa perkara positif juga diterapkan untuk muhasabah diri saya. Yang pertama katanya, supaya saya menyemak semula pelajaran agama di zaman persekolahan dan yang kedua memuji muka saya yang segak.

Akhir kata elok juga kita meneliti, menghayati dan memahami ayat al-Quran Surah Al-Nahl ayat 12 - 18 supaya dapatlah kita menggunakan akal sebaik-baiknya.

Dan Selamat Tahun Baharu 2021 kepada semua. Semoga tahun 2021 ini, dapatlah kita berazam untuk mula menggunakan akal sebelum melakukan sesuatu.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com