MAM atur strategi rancakkan sukan permotoran

MOKHZANI
MOKHZANI
A
A
A

PERSATUAN Permotoran Malaysia (MAM) telah menggariskan beberapa aktiviti permotoran tahun ini selepas mengalami impak besar akibat pandemik Covid-19 musim lepas.

Presidennya, Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir berkata, antara acara yang tersenarai bulan ini termasuklah pusingan akhir Kejohanan Superbike Malaysia 2020 (MSBK), Kejohanan Perlumbaan dan Pembangunan Kart dan juga pusingan pertama Kejohanan Gazoo Toyota.

Selain tiga acara ini, MAM juga bercadang menganjurkan ‘MAM Speedweek’ dan Kejohanan MiniGP SIC pada Mac, yang akan menjadi platform terbaik bagi mencungkil pelumba motosikal muda.

“Mencari persamaan normal itu bukanlah sesuatu yang MAM cari pada 2021 kerana norma baru telah pun diamalkan orang ramai dan perkara yang sama juga berlaku di mana-mana di dunia,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan MAM pada Jumaat.

Mokhzani turut menyatakan yang MAM akan mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih baik pada peringkat organisasi, bagi memastikan keselamatan kesemua pihak yang terlibat dalam program atau pertandingan mereka.

“Kami akan pastikan yang pandemik ini tidak akan menghalang pembangunan bakat muda kita, mahupun menyebabkan pasukan dan penaja tidak berminat menjadi sebahagian daripada sukan permotoran Malaysia pada 2021,” katanya.

Musim 2020 menyaksikan pembatalan dan penangguhan beberapa pertandingan permotoran akibat pandemik Covid-19, seperti Kejuaraan Cub Prix Malaysia, MiniGP SIC dan Kejohanan Speedway MAM.

Pada peringkat antarabangsa, Grand Prix Malaysia 2020 yang sepatutnya diadakan pada 30 Oktober ke 1 November dibatalkan akibat peningkatan Covid-19 yang menyebabkan kerajaan mengenakan sekatan perjalanan kepada beberapa negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: