Banjir kilat landa daerah di Johor Bahru

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meninjau keadaan banjir di Kampung Palembang Baru, Kluang pada Jumaat.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meninjau keadaan banjir di Kampung Palembang Baru, Kluang pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 26 mangsa banjir di Kampung Laut, Batu 10, Skudai di sini dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air pada Jumaat.

Mangsa banjir yang melibatkan tujuh keluarga itu mula dipindahkan pada jam 12.37 tengah hari ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10.

Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai terlibat memindahkan mereka dibantu satu jentera Fire Rescue Team (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Komander Operasinya, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Riduan Akhyar berkata, mangsa banjir terdiri daripada 13 lelaki dewasa, enam wanita dewasa, empat kanak-kanak lelaki serta perempuan.

"Ini termasuk dua warga emas lelaki dan perempuan serta seorang bayi lelaki berusia setahun. Kawasan mereka dilanda banjir kilat pada paras dua kaki. Kita menasihati mereka untuk berpindah kerana paras air semakin naik.

"Operasi memindahkan mereka selesai jam 3.30 petang namun pemantauan terus dilakukan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Sementara itu, seramai lapan mangsa banjir di Jalan Sukun, Pengkalan Rinting, Tampoi di sini dipindahkan ke PPS Kampung Pasir dengan bantuan 17 anggota dari BBP Larkin serta dua jentera FRT dan satu EMRS.

Komander Operasinya, Timbalan Pegawai Bomba 1 Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata, mereka merupakan tiga wanita dewasa, dua lelaki dewasa, dua kanak-kanak perempuan dan satu kanak-kanak lelaki.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, banjir kilat turut berlaku di kawasan Mengkibol, Mahkota dan Kahang di Kluang melibatkan Perumahan SPKR Yap Tau Sah, Kampung Contoh dan Kampung Palembang namun tiada mangsa dipindahkan setakat jam 7 malam pada Jumaat.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kluang dalam satu kenyataan memberitahu, banjir turut berlaku di Jalan Kluang-Mersing, Jalan Mengkibol-Rengam, Jalan Batu 4-Mersing dan Jalan Kluang-Mersing.

Anggota bomba memindahkan mangsa banjir di Kampung Laut, Batu 10, Skudai, Johor Bahru selepas kediaman mereka dinaiki air pada Jumaat.
Anggota bomba memindahkan mangsa banjir di Kampung Laut, Batu 10, Skudai, Johor Bahru selepas kediaman mereka dinaiki air pada Jumaat.