Pembatalan HSR satu kerugian: Khaled Nordin

Mohamed Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

PASIR GUDANG - Pembatalan Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura merupakan satu kerugian yang besar termasuk memberi kesan terhadap pembangunan dan kemajuan ekonomi di Johor.

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerugian tersebut akan melibatkan jangka masa panjang termasuk terlepas pelbagai peluang dan manfaat daripada projek mega itu.

"Saya merasakan kita rugi (HSR dibatalkan) dan pembatalan ini melambatkan proses pembangunan. Kerajaan mungkin ada sebab asasnya dan kerajaan wajar kongsikan kepada rakyat supaya kita tahu. Kalau pun ada masalah pada pandangan saya patut ditangguhkan dan bukannya dibatalkan. HSR ini sangat dialu-alukan khususnya di negeri ini kerana membuka peluang kepada kerajaan negeri menjadi penyumbang ekonomi utama kepada negara.

"Kita bercakap mengenai soal perlu ada integrasi ekonomi antara negara dalam rantau ASEAN dan ini adalah satu cara yang terbaik," ujarnya mengulas mengenai pembatalan HSR yang disahkan Kementerian Pengangkutan Singapura pada Jumaat.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pasir Gudang di TS Hotel pada Jumaat.

Republik berkenaan memaklumkan, Malaysia perlu membayar pampasan kepada Singapura atas pembiayaan yang ditanggungnya sebagai sebahagian daripada kewajiban berdasarkan perjanjian dua hala.

HSR merupakan sebuah projek mega semasa Mohamed Khaled menjadi Menteri Besar Johor yang sudah ditandatangani memorandum persefahamannya dan sebelum ini dijangka siap dan beroperasi selepas 2026.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan tamat projek HSR tepat, utamakan keperluan semasa

Artikel Berkaitan:

Mohamed Khaled berkata, kawasan bandar di sepanjang jajaran projek tersebut termasuk barat Johor mampu untuk diterokai dan dimajukan serta meletakkan Johor sebagai negeri yang memainkan peranan besar dalam pertumbuhan dan kemajuan negara.

"HSR ini memungkinkan kita membangunkan potensi penggunaan Selat Melaka, suatu yang kita tidak terokai namun kita hilang peluang itu. Apatah lagi apabila berdepan wabak Covid-19, kita perlu fikir apa yang boleh melonjakkan pembangunan ekonomi," katanya.

Menurutnya, pembatalan projek itu adalah tidak wajar kerana sampai ke hari ini kerajaan tidak mempunyai perancangan besar yang boleh melonjakkan ekonomi lebih-lebih lagi selepas melalui pandemik ketika ini.

Tambah beliau, kerajaan perlu mencari pendekatan lain memandangkan kawasan seperti di Lembah Klang sudah tepu dan tidak berpeluang dan berpotensi untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan kemajuan ekonomi dengan lebih besar.

"Kita dalam era perhubungan perjalanan yang cepat, segera dan sememangnya tidak boleh lari daripada itu. Justeru, pengangkutan melalui rel adalah satu yang patut dilakukan secara besar-besaran.

"Bercakap soal bagaimana nak pertingkatkan pembangunan dan kemajuan negara, (HSR) ini peluang dan ruang membantu ke arah itu. Adanya HSR, kita boleh dapatkan segala bakat, idea, modal yang ada di Singapura selain memudahkan pergerakan lebih lagi zaman memang menggalakkan perjalanan melalui rel.

"HSR ini adalah pemangkin untuk mendapatkan segala kekuatan dan potensi di negara jiran. Jika sekadar hanya di Johor Bahru, kita terputus dengan modal, kepakaran, idea, perkhidmatan sokongan dan institusi kewangan di Singapura," katanya.