Sanggup tunggu 1 jam mahu naik bot laju

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng beramah mesra dengan pengunjung ketika menaiki feri bot laju (pejalan kaki) pada hari pertama beroperasi dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) pada Jumaat. - Foto Bernama
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng beramah mesra dengan pengunjung ketika menaiki feri bot laju (pejalan kaki) pada hari pertama beroperasi dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

BUTTERWORTH - Orang ramai teruja untuk menggunakan perkhidmatan bot laju Pulau Pinang yang mula beroperasi pada Jumaat sehingga ada yang sanggup menunggu hampir sejam untuk mencubanya.

Perkhidmatan bot laju yang bermula 6.30 pagi Jumaat itu bagi membawa penumpang pejalan kaki, menggantikan feri ikonik yang telah beroperasi kira-kira 126 tahun.

Seorang ahli perniagaan, Chai Shyan Jaw, 49, dari Seberang Perai merupakan antara orang pertama yang menunggu di Pangkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth seawal 5.45 pagi lagi.

Chai berkata, beliau ingin mencuba bot baharu itu kerana dilaporkan lebih laju, selesa dan selamat untuk penumpang.

"Memandang hari ini (Jumaat) hari cuti, saya tidak ingin melepaskan peluang untuk mencuba perkhidmatan bot laju ini dan saya sampai di pangkalan pada kira-kira 5.45 pagi," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.

Shyan Jaw berkata, beliau sangat berpuas hati dengan perkhidmatan bot laju itu yang perjalanannya hanya mengambil masa kurang daripada 10 minit.

Sementara itu, Aisyah Saad, 32, dari Terengganu berkata, beliau juga berpuas hati dengan perkhidmatan bot laju yang berhawa dingin itu namun keadaan bot tertutup tidak membolehkannya menikmati pemandangan.

Beliau berkata, berbanding feri yang terbuka, penumpang berpeluang bergambar dan menikmati pemandangan Pulau Pinang sepanjang perjalanan mengambil masa hampir 30 minit.

Artikel Berkaitan:

"Dari segi keselesaan dan keselamatan, bot laju ini lebih baik namun saya lebih menyukai feri lama kerana dapat mengambil gambar sambil menikmati pemandangan Pulau Pinang," katanya yang bercuti bersama suami dan dua anak.

Operasi bot laju bermula dari Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth pada 6.30 pagi dan berakhir di Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) pada jam 11 malam setiap hari dengan kekerapan bot pada setiap 30 minit.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan menyatakan fasa pemodenan perkhidmatan feri akan dimulakan dengan memperkenalkan tiga bas air (untuk penumpang) bermula 1 Januari diikuti dua pengangkut kenderaan yang hanya membawa kenderaan bermotor dua roda (seperti motosikal dan basikal) yang akan beroperasi mulai 2022.

Pada 17 Disember lepas, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Dewan Rakyat, sejumlah RM30 juta telah diperuntukkan untuk pemodenan perkhidmatan feri itu yang akan disalurkan melalui dua pembayaran iaitu pada 2021 dan 2022. - Bernama