Covid-19: Henti stigma, sisih bekas pesakit

Hajiji Noor
Hajiji Noor
A
A
A

KOTA KINABALU - Orang ramai diminta berhenti meletakkan stigma atau menyisih bekas pesakit Covid-19 bagi membantu bekas pesakit itu pulih sepenuhnya terutama dari segi kesihatan mental mereka.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata, sebagai bekas pesakit Covid-19, beliau sendiri memahami keadaan yang dialami oleh bekas pesakit yang memerlukan sokongan emosi daripada orang sekeliling.

"Apabila ini berlaku, ada dalam kalangan masyarakat kita punyai fikiran bahawa apabila terkena jangkitan virus ini, ia amat berbahaya, sekali gus kawan-kawan ada yang ketakutan dan bersikap menjauhkan diri.

"Sebenarnya mereka yang sudah pulih tidak akan menjangkiti orang lain, saya sendiri telah jadi pesakit Covid-19 yang pulih, syukur Tuhan beri peluang kepada saya lagi," katanya dalam temu bual dengan Bernama dan RTM di sini hari ini.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penularan wabak itu.

Menurutnya amalan menjaga disiplin dalam kehidupan normal baharu perlu dipatuhi seperti sentiasa menjaga penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, mencuci tangan dan sentiasa menjaga kebersihan diri.

"Saya sarankan rakyat supaya mengamalkan disiplin yang baik, namun tidak perlu sehingga menjauhkan diri daripada kawan-kawan atau bekas pesakit Covid-19.

"Kita boleh berinteraksi dengan mereka selagi menjaga SOP, kalau ini kita lakukan insya-Allah kita bebas daripada Covid-19, malah saya sentiasa berharap dan berdoa Covid-19 akan berakhir di Sabah nanti," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: