PH hilang sokongan jika bersama Tun Mahathir

Pakatan Harapan
Pakatan Harapan
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) dibimbang akan hilang sokongan jika masih bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Adzman Kamaruddin mendakwa, umum mengetahui Dr Mahathir tidak menepati janji dalam kerjasama politik.

Oleh sebab itu, Adzman berkata, AMK Selangor mengulangi desakan supaya sebarang kerjasama politik seperti cadangan 'Grand Coalition' tidak melibatkan bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

"Dr Mahathir seharusnya sedar beliau tidak lagi relevan dalam politik Malaysia.

"Mungkin benar, beliau antara faktor kejayaan PH ketika menarik undi orang Melayu dalam Pilihan Raya Umum 14 (PRU 14) lalu namun kini beliau bukan lagi faktor tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mana-mana pihak termasuk Dr Mahathir wajib mematuhi prinsip perjuangan dikemukakan PH sekiranya ingin menyertai membentuk gabungan lebih besar dalam parti pembangkang.

Anwar berkata, beliau menyerahkan kepada gabungan itu untuk mengundang sesiapa sahaja bagi menjayakan usaha pembentukan gabungan besar parti pembangkang bagi menghadapi PRU15.

Mengulas lanjut, Adzman berkata, kenyataan Anwar itu membuktikan bahawa Dr Mahathir tidak ikhlas dalam usaha menggembleng kekuatan pembangkang namun hanya mahu mewujudkan persepsi negatif terhadap semua perkara.

Artikel Berkaitan:

"Beliau terus menyalahkan Anwar kononnya gagal mengembalikan semula mandat rakyat dan mengambil alih kerajaan sedangkan hakikatnya beliau faktor utama PH hilang kuasa," katanya.