Dua lokaliti di Johor dikenakan PKPD libatkan asrama pekerja

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dua lokaliti di Johor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok (Sabtu) sehingga 15 Januari 2021, selepas berlaku peningkatan kes positif Covid-19 di asrama pekerja.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti itu masing-masing adalah Asrama Pekerja Kejora Juara di Bukit Pasir, daerah Muar serta Asrama Pekerja Westlite 1 dan Westlite 2 di daerah Senai.

Beliau berkata, PKPD di Asrama Pekerja Kejora Juara melibatkan 17 blok bangunan yang menempatkan 1,828 penghuni dan kesemuanya adalah pekerja warga asing.

Manakala Asrama Pekerja Westlite 1 dan Westlite 2 masing-masing melibatkan dua dan lima blok bangunan, yang menempatkan 4,444 penghuni dan kesemuanya juga adalah pekerja warga asing.

“Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melaporkan peningkatan kes positif Covid-19 di Asrama Pekerja Kejora Juara dan sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 338 ujian saringan telah dilaksanakan dengan 212 kes positif direkodkan.

“KKM turut melaporkan peningkatan kes positif Covid-19 di Asrama Pekerja Westlite 1 dan Westlite 2, dan sehingga 31 Dis 2020, KKM 95 ujian saringan telah dilaksanakan dengan 20 kes positif direkodkan dalam kalangan penghuni di kedua-dua asrama ini.

“KKM turut mengesahkan terdapat risiko jangkitan yang tinggi di tempat kerja dan kepada pekerja industri yang tinggal di asrama ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan PKPP pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD di Apartment Ria di Jalan Genting, daerah Bentong, Pahang ditamatkan pada Jumaat lebih awal daripada yang dijadualkan pada 6 Januari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas kesemua penduduk di lokaliti itu telah disaring dan tiada lagi sampel yang menunggu keputusan.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,042 ujian saringan dan daripada jumlah itu hanya 2 kes positif Covid-19 telah direkodkan,” katanya. - Bernama