PKPP dilanjutkan hingga 31 Mac

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara dilanjutkan lagi mulai hari ini hingga 31 Mac depan.

Bagaimanapun perintah itu tidak melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah serta lokaliti-lokaliti tertentu yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan melanjutkan PKPP itu berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati peningkatan ketara kes Covid-19 masih berlaku di seluruh negara dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Perintah ini telah diwartakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan. Peningkatan kes disumbangkan oleh pelaksanaan saringan wajib terhadap pekerja asing yang dijalankan secara besar-besaran dan juga akibat berlakunya penularan jangkitan dalam komuniti yang dikesan, terutamanya di Lembah Klang dan beberapa negeri,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan PKPP pada Jumaat.

PKPP yang dilaksanakan kerajaan sejak 10 Jun lalu dijadualkan tamat pada Khamis.

Menurut Ismail Sabri, segala prosedur operasi standard (SOP) di bawah PKPP adalah terpakai bagi tempoh kuat kuasa yang diwartakan dan tertakluk kepada perubahan yang akan diumumkan dari masa ke masa.

“Aktiviti pelancongan adalah berdasarkan ketetapan yang telah diumumkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum ini namun perlu mematuhi SOP yang ketat,” jelasnya.

Mengenai task force operasi pematuhan, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia menahan 347 individu pada Khamis atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 337 dikenakan kompaun dan 10 direman.

Artikel Berkaitan:

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP ialah aktiviti pusat hiburan (135), tidak memakai pelitup muka (109), gagal mematuhi arahan penjarakkan fizikal (54) dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (49),” katanya.

Bagi Op Benteng, seramai 31 lagi pendatang asing tanpa izin berjaya ditahan dan lima kenderaan darat dirampas manakala 110 sekatan jalan raya dilakukan pada Khamis.

Berhubung pemeriksaan di tapak binaan pula, katanya sejak 20 April hingga Khamis, sebanyak 14,124 jumlah pemeriksaan telah dilakukan oleh anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang melibatkan 8,029 tapak pembinaan di seluruh negara.

“Semalam, anggota penguat kuasa telah membuat pemeriksaan di 10 tapak pembinaan di seluruh negara dan kesemua tapak pembinaan yang diperiksa mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” kata Ismail Sabri. - Bernama