Isu kakitangan piecemeal RTM selesai

Saifuddin (tengah) bergambar bersama kakitangan piecemeal RTM sebaik selesai pertemuan di Wisma Berita RTM pada Jumaat.
Saifuddin (tengah) bergambar bersama kakitangan piecemeal RTM sebaik selesai pertemuan di Wisma Berita RTM pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penantian sekian lama kakitangan stesen penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang berstatus 'piecemeal' (pekerja sementara/sambilan) untuk diserapkan ke dalam jawatan akhirnya selesai pada Jumaat.

Perkara itu selesai selepas 397 daripada 653 kakitangan itu akan ditawarkan untuk perkhidmatan kontrak yang setaraf dengan kakitangan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah bersyukur apabila isu perjawatan kakitangan stesen penyiaran kerajaan itu akhirnya dapat diselesaikan dengan baik walaupun tidak sepenuhnya.

"Alhamdulillah selepas perjumpaan sebelum ini antara saya, Ketua Pengarah (penyiaran) dan Ketua Setiausaha (Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kakitangan piecemeal, kita mendapatkan kelulusan daripada agensi pusat khususnya Kementerian Kewangan dan sekarang sedang berunding dengan JPA (untuk dilaksanakan segera).

"Seramai 397 petugas akan ditawarkan perkhidmatan kontrak dan ini merupakan langkah pertama.

"Langkah berikutnya ialah melihat lagi kepada 24 orang yang berkhidmat sebagai 'stringer' dan 222 petugas yang sedang berkhidmat," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan kakitangan piecemeal di Wisma Berita Angkasapuri di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ruzain Idrus.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, tawaran kontrak perkhidmatan itu bagaimanapun akan dilakukan secara sukarela kepada kakitangan yang berminat.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana katanya, terdapat segelintir piecemeal mempunyai pekerjaan tetap yang lain.

"Prinsipnya ialah sukarela (tawaran perkhidmatan kontrak) kerana ada dalam kalangan piecemeal ini mahu terus sebagai piecemeal sebab mereka ada kerja tetap di tempat lain.

"Mereka mungkin sebagai penyampai atau dalam tugasan lain sebagai pendapatan tambahan mereka," katanya.

Saifuddin berharap perjawatan secara kontrak membabitkan kumpulan pertama itu akan dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Februari ini.

"Aspek bayaran gaji pula mengikut gred jawatan seperti JPA dan kita harap dengan pelantikan ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terlibat dan kebanyakannya bertugas lebih 10 tahun.

"Isu paling penting ialah kebajikan mereka yang kita beri keutamaan apabila memohon untuk melantik secara kontrak ini kerana mereka akhirnya mendapat faedah seperti kakitangan kerajaan yang lain," katanya.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin turut memberitahu kakitangan yang telah ditawarkan ke perkhidmatan kontrak itu tetap mempunyai peluang untuk memohon jawatan tetap sekiranya ada kekosongan ditawarkan nanti.

Dalam pada itu, bagi juruhebah Nasional FM, Lynn Zainol, tiada kata-kata yang dapat digambarkan apabila penantian lebih 21 tahun untuk mendapatkan 'pengiktirafan' jawatan akhirnya tercapai.

Katanya, penantian dan pengorbanan selama lebih dua dekad itu berbaloi kerana cintanya kepada stesen penyiaran milik kerajaan itu.

"Alhamdulillah, syukur sangat dan diharap dengan lantikan jawatan secara kontrak ini akan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kami khususnya kakitangan piecemeal ke tahap yang lebih baik," katanya.