PH perlu ‘move on’ daripada kerjasama dengan Dr Mahathir

Akmal Nasrullah Mohd Nasir
Akmal Nasrullah Mohd Nasir
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa agar Pakatan Harapan (PH) untuk ‘move on’ daripada episod kerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, gabungan itu perlu sedar bahawa penglibatan Ahli Parlimen Langkawi itu hanya cuba menunggang jenama ‘grand coalition’ atau gabungan besar pembangkang.

Menurut Akmal Nasrullah, ia juga sekadar strategi pecah dan perintah yang sering digunakan oleh Dr Mahathir tetapi strategi berkenaan telah lapuk.

“Amat tidak masuk akal sekiranya ulang siar strategi lapuk ini yang mampu memperdaya dan memecah belah kesepaduan dan kesepakatan PKR dan PH,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Gesaan dibuat Akmal Nasrullah itu susulan daripada kenyataan Dr Mahathir pada Khamis bahawa beliau tidak akan percaya lagi dengan apa yang diperkatakan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung beliau mempunyai jumlah majoriti.

Dr Mahathir berkata, ia dapat dilihat dengan janji dibuat oleh Anwar bahawa beliau akan meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen sekiranya tidak mempunyai majoriti.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah yang merupakan Ahli Parlimen Johor Bahru turut menyeru agar Dr Mahathir bermuhasabah atas sikapnya yang sering berdolak dalik terhadap janji yang telah disepakati menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Mahathir semasa majlis anjuran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) terhadap Anwar dilihat tiada yang mengejutkan malah menyerlahkan hakikat keterdesakan politik beliau.

Artikel Berkaitan:

“Amat malang apabila majlis yang sepatutnya digunakan oleh Dr Mahathir untuk menerangkan tentang hala tuju partinya dijadikan sebagai platform untuk menyerang Anwar,” katanya.

Akmal mendakwa, sikap yang ditunjukkan Dr Mahathir seolah-olah kewujudan Pejuang hanya semata-mata ingin menafikan kewibawaan Anwar sebagai Ketua Pembangkang dan Pengerusi PH.

“Walhal baru-baru ini Anwar sekali lagi mengulangi keterbukaan beliau untuk bekerjsama dengan mana-mana pihak asalkan pihak tersebut boleh menerima syarat dan prinsip perjuangan PH serta meninggalkan segala sikap dan kebobrokan lama,” katanya.