Polis berkas 12 lelaki disyaki proses, edar air ketum

Rajab (dua, kiri) menunjukkan hasil rampasan dalam sidang akhbar di Balai Polis Setiawangsa para Jumaat.
Rajab (dua, kiri) menunjukkan hasil rampasan dalam sidang akhbar di Balai Polis Setiawangsa para Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 12 lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pemprosesan dan pengedaran air ketum di Jalan Setiawangsa di sini Rabu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superitendan Rajab Ahad Ismail berkata, dalam serbuan pada pada jam 11 malam itu, seramai tujuh penjual dan lima pembeli termasuk seorang penjawat awam serta dua penuntut institut pengajian tinggi ditahan.

Menurutnya, polis turut merampas 14 plastik dan 260 bungkusan mengandungi cecair disyaki daun ketum seberat 281 liter, 63 botol cecair dipercayai ubat batuk (5,670 milimeter), lapan bungkusan plastik disyaki daun ketum (8,000) serta wang tunai RM7,000.

"Kesemua yang ditahan berusia antara 19 hingga 45 tahun dan salah seorang daripada mereka juga disyaki dalang sindiket berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Setiawangsa, di sini pada Jumaat.

Rajab berkata, pihaknya telah membuat 12 serbuan di kawasan berkenaan pada tahun lalu membabitkan tangkapan 36 lelaki dan seorang wanita tempatan.

Tambahnya, dalam serbuan terbabit polis merampas 471 liter air ketum, ketum (8,000 gram), ganja (0.78 gram) dan cecair ubat batuk (7,070 milimeter).

Beliau berkata, pihaknya mendapati sindiket berkenaan masih tidak serik dan mengulangi kegiatan itu.

"Kita akan mengusulkan mereka diambil tindakan mengikut Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 bagi membendung kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa di kawasan terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan: