Akhbar Britain rai Britain keluar EU

Akhbar-akhbar Britain menyiarkan tajuk muka depan berhubung keputusan United Kingdom keluar dari Kesatuan Eropah pada Jumaat. - Foto AFP
Akhbar-akhbar Britain menyiarkan tajuk muka depan berhubung keputusan United Kingdom keluar dari Kesatuan Eropah pada Jumaat. - Foto AFP
A
A
A

LONDON - Akhbar-akhbar Britain yang menentang peningkatan kuasa Kesatuan Eropah (EU) selepas berdekad-dekad menghentam Brussels di Belgium iaitu pusat pentadbiran EU pada Jumaat meraikan kemenangan kerana negara itu tidak lagi menyertai blok ekonomi tersebut.

Badan penyiaran BBC dan stesen televisyen berita Sky menyiarkan imej jam besar Big Ben di tengah London pada pukul 11 malam waktu tempatan pada Khamis lepas iaitu pada hari United Kingdom (UK) menamatkan proses peralihan keluar dari EU yang mengambil masa selama 11 bulan.

Ia merupakan kemenangan peribadi untuk seorang ahli politik popular, Nigel Farage yang juga tokoh kempen yang mahu UK keluar dari EU semasa referendum diadakan pada tahun 2016 bagi memutuskan perkara tersebut dalam kalangan rakyat.

Farage membuat kenyataan di Twitter: "Ini ialah detik paling besar untuk negara kami, satu langkah gergasi."

Tindakan Britain meninggalkan EU itu juga dikenali sebagai Brexit.

Akhbar Daily Express menyiarkan sekeping gambar White Cliff Dover iaitu sebuah tebing tinggi yang menghadap Selat Dover dan Perancis dengan tajuk "Masa depan kami."

Akhbar The Sun menyiarkan berita Brexit di muka depan dengan melaporkan kenyataan Perdana Menteri, Boris Johnson bahawa Brexit menandakan satu detik pembaharuan kebangsaan yang mana negara akan menjadi lebih berdaya maju dalam inovasi saintifik.

"Selamat datang 2021 dan dua sebab untuk mengharapkan masa depan lebih cerah," lapor tajuk akhbar Daily Telegraph.

Artikel Berkaitan:

UK yang terdiri daripada Britain, Scotland, Ireland Utara dan Wales keluar dari EU selepas menyertainya pada 1 Januari 1973.

Britain kini mempunyai 66 juta penduduk dan ekonominya bernilai AS$2.85 trilion (RM11.46 trilion).

Justeru, undang-undang EU tidak lagi diguna pakai di UK.

Kesan segera ekoran tindakan itu ialah tiada kebebasan bergerak secara bebas untuk lebih 500 juta penduduk antara EU yang melibatkan 27 buah negara dengan UK.

Namun, akhbar Independent menyiarkan kartun menunjukkan sebuah kartun beberapa pejuang Brexit sebagai pelbagai spesies ikan membangkitkan kisah pergaduhan tentang isu perikanan yang hampir menjejaskan perjanjian keluar UK dari EU selepas beberapa bulan berbincang mengenainya. - Agensi