42 positif Covid-19 di Terengganu

Dr Nor Azimi Yunus
Dr Nor Azimi Yunus
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 42 kes positif Covid-19 direkodkan hasil saringan melalui ujian penilaian risiko ke atas individu dari zon merah termasuk kontak rapat di Terengganu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, sehingga 31 Disember 2020, seramai 5,294 individu dari zon merah yang memasuki Terengganu telah disaring secara sukarela sejak kebenaran rentas negeri bermula 7 Disember lalu.

Menurutnya, Terengganu turut melaporkan 17 kes baharu Covid-19 pada Khamis dan majoriti daripada individu terbabit merupakan kontak rapat kes positif.

"Jumlah ini merupakan satu angka yang tinggi. Jika bergejala seperti demam, mengalami anosmia atau yang berkaitan perlu dapatkan pemeriksaan segera," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Beliau juga meminta supaya menangguhkan perancangan untuk merentas negeri sehingga status kesihatan diketahui.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan, mana-mana individu dari kawasan wabak (kluster) Covid-19 perlu menangguhkan perjalanan ke negeri lain terutama mereka yang berada di kawasan kluster wabak atau ada rakan sekerja didapati positif.

Sementara itu, Dr Nor Azmi berkata, masyarakat juga semakin mengabaikan dan mengambil mudah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan budaya norma baharu yang digariskan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan lebih ramai individu terdedah kepada jangkitan virus berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada contoh kes demam tetapi berjumpa dengan 10 buah keluarga di pelbagai majlis. Bayangkan puluhan kontak rapat terpaksa dicari dan dikuarantinkan.

Beliau berkata, Covid-19 lebih mudah merebak terutama jika terdapat kes positif dalam kalangan keluarga daripada zon merah.

"Sebenarnya kita ambil mudah dalam banyak perkara misalnya adakan majlis hari jadi secara besar-besaran. Sepatutnya norma baharu disambut bersama keluarga kita sahaja, bukan sehingga enam buah keluarga datang bersama anak-anak," katanya.