X

Kindly register in order to view this article
!

Persepsi masjid sukar beri bantuan kepada mualaf perlu diubah

Adam Corrie
A
A

SHAH ALAM - Usaha perlu dilakukan untuk mengubah persepsi bahawa institusi masjid sukar memberikan bantuan kepada umat Islam yang memerlukan terutama mualaf.

Pelakon, Adam Corrie berkata, ahli jawatankuasa masjid perlu mengambil pendekatan untuk lebih prihatin tentang perkara itu lebih-lebih lagi bila timbulnya perbandingan kononnya masjid susah untuk memberikan bantuan berbeza dengan gereja.

"Saya sendiri pernah tengok seorang ahli jawatankuasa masjid menegur mualaf yang mahu meminta bantuan dengan berkata "sini tak ada bantuan, carilah tempat lain".

"Adakah ini jawapan yang betul daripada ahli jawatankuasa masjid?," katanya selaku panelis pada Wacana Sinar Edisi 221 bertajuk 'Isu murtad: Mudahnya kita jatuhkan hukum' yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Wacana itu turut membariskan panelis, Pengasas & Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM), Firdaus Wong dan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar serta moderator, Ismail Adnan.

Berikutan itu, Adam menyeru semua orang Islam terutama ahli jawatankuasa masjid untuk bersifat lebih cakna dan tidak lokek untuk membantu mereka yang dalam kesusahan bagi menangkis tanggapan buruk itu.

"Bila mualaf pergi masjid minta bantuan, mereka tak dapat bantuan yang dikehendaki tetapi bila mereka pergi ke gereja minta bantuan, mereka dapat. Jadi kita nak salahkan siapa?

"Kita sebagai orang Islam sepatutnya bantu mereka. Kalau tak mampu bagi duit, bagilah nombor telefon pihak yang boleh dihubungi yang boleh menyalurkan bantuan itu.

"Kita di Malaysia mempunyai banyak jabatan, agensi dan badan yang mempunyai peruntukan untuk berikan bantuan seperti badan zakat dan majlis agama Islam," katanya.

Katanya, sikap prihatin umat Islam akan memberi imej yang baik kepada Islam itu sendiri selain dapat memberi sokongan berterusan kepada mualaf untuk memperteguhkan keimanan mereka.

"Ini kerana dalam tempoh lima tahun pertama peluk Islam akidah mereka bergoyang.

"Sebab itu saya sendiri berusaha mengumpulkan mualaf baharu ini untuk kuatkan akidah dan iman mereka agar mereka betul-betul kenal apa itu Islam. Kalau bukan kita bantu mereka, siapa lagi nak bantu mereka sedangkan mereka juga telah dipulaukan oleh ahli keluarga dan kawan-kawan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!