Malaysia hormati Perjanjian Dua Hala dengan Singapura

Mustapa
Mustapa
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia akan menghormati terma-terma Perjanjian Dua Hala dengan Singapura berikutan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura tamat selepas tempoh penangguhan perjanjian terbabit berakhir pada Khamis lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkenaan, kedua-dua negara berkenaan akan mengambil tindakan yang perlu untuk menentukan jumlah pampasan.

Tambahnya, kerajaan bakal melaksanakan kajian dengan lebih terperinci yang mana meliputi kesemua opsyen termasuklah daya maju projek kereta api laju domestik dan juga manfaatnya kepada rakyat.

“Hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura amat rapat.

“Kita akan terus memperkukuhkan hubungan ini termasuk mempertingkatkan kesalinghubungan antara kedua negara demi faedah bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: [DIKEMASKINI] Projek kereta api laju HSR batal

Mengulas lanjut beliau berkata, terma-terma Perjanjian Dua Hala yang ditandatangani pada tahun 2016 tidak lagi berdaya maju untuk diteruskan oleh Malaysia berikutan penularan pandemik Covid-19.

Katanya, penularan pandemik itu turut memberi kesan teruk kepada ekonomi sekali gus menjejaskan kedudukan fiskal negara.

Artikel Berkaitan:

“Bermula akhir tahun 2018, kerajaan Malaysia telah meneliti beberapa alternatif yang bertujuan untuk menurunkan kos keseluruhan projek ini.

“Penelitian semula ini semakin menjadi keutamaan kerajaan semenjak pandemik Covid-19 ini berlaku,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, lanjutan daripada itu, kerajaan Malaysia telah mengemukakan beberapa cadangan perubahan bagi mengurangkan kos keseluruhan projek berkenaan bermula pertengahan tahun 2020.

Menurut beliau, antara cadangan itu termasuklah perubahan kepada struktur projek, jajaran dan reka bentuk stesen.

“Struktur projek yang asal memerlukan jumlah jaminan kerajaan (Government Guarantees) yang besar dan untuk tempoh yang panjang.

“Cadangan struktur projek yang baharu ini juga akan memberikan kerajaan fleksibiliti dalam memilih opsyen pembiayaan projek termasuklah melalui kaedah pembayaran tertangguh, usaha sama awam dan swasta serta kemungkinan mendapatkan akses kepada pembiayaan pada kadar yang munasabah.

“Lebih penting lagi, cadangan perubahan struktur projek ini dijangka dapat mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” jelasnya.

Berdasarkan cadangan baharu yang dikemukakan, beliau berkata, projek tersebut akan dimulakan pembinaannya dua tahun lebih awal berbanding perancangan asal.

“Ini akan memberikan rangsangan yang amat diperlukan oleh sektor pembinaan dan juga industri lain yang berkait rapat dengan sektor ini,” katanya.

Terdahulu, kedua-dua buah negara berkenaan telah mengadakan perbincangan sepanjang beberapa bulan bagi menjelaskan pendirian masing-masing.

Bagaimanapun, tiada persetujuan dicapai mengenai perubahan yang dicadangkan itu.

ARTKEL BERKAITAN: Malaysia-Singapura umum butiran lanjut projek HSR pada masa sesuai