Kegagalan pasangan beri bimbingan punca mualaf keluar Islam

Firdaus
Firdaus
A
A
A

SHAH ALAM - Pengasas & Presiden Pertubuhan Mualaf Pelbagai Bangsa (MRM), Firdaus Wong mendedahkan kegagalan individu Muslim memberi bimbingan kepada pasangan mereka menjadi punca mualaf keluar daripada Islam.

Firdaus berkata, ada antara pasangan Muslim langsung tidak memberi didikan kepada pasangan mereka yang memeluk Islam untuk berkahwin dan memberi kebebasan mengamalkan ajaran agama asal.

Beliau turut memberi contoh satu pasangan doktor yang isterinya mualaf manakala suami Muslim.

"Mereka ada perjanjian. Suami membenarkan isteri pergi ke gereja malah membawa isterinya. Selepas cinta mereka dah tak mekar dan bercerai, doktor wanita mendedahkan perjanjian dengan bekas suaminya begitu dan dia mahu keluar Islam," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai panelis pada Wacana Sinar Edisi 221 bertajuk 'Isu murtad: Mudahnya kita jatuhkan hukum?' yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Firdaus (dua kiri), Zainul Rijal (dua kanan), Adam (kanan) bergandingan sebagai panelis pada Wacana Edisi 221 bertajuk 'Isu murtad: Mudahnya kita jatuhkan hukum' yang dikendalikan Ismail dan disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Khamis.
Firdaus (dua kiri), Zainul Rijal (dua kanan), Adam (kanan) bergandingan sebagai panelis pada Wacana Edisi 221 bertajuk 'Isu murtad: Mudahnya kita jatuhkan hukum' yang dikendalikan Ismail dan disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Wacana itu turut menampilkan panelis, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan pelakon, Adam Corrie serta dikendalikan moderator Ismail Adnan.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata, situasi itu menunjukkan cabaran besar terletak pada bahu pasangan Muslim bagi memastikan pasangan mereka benar-benar menghayati Islam dan bukan sekadar memeluk Islam untuk berkahwin.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perbuatan orang bukan Muslim nekad memeluk Islam untuk berkahwin tidak salah kerana ia menjadi asbab seseorang itu mendapat hidayah ALLAH SWT.

Bagaimanapun katanya, tanggungjawab terletak pada pasangan Muslim untuk membimbing dan tidak boleh bersikap sambil lewa serta memberi kebebasan kepada pasangan mereka kerana ia membuka ruang untuk pasangan mereka keluar Islam apabila berlaku perpisahan.

Tambahnya, kebanyakan permohonan untuk keluar Islam atau permohonan pengisytiharan status agama yang dikendalikan pihaknya ialah daripada mualaf dan generasi kedua mualaf.

Sementara itu, Firdaus menegaskan bahawa individu Muslim perlu tahu bahawa mereka tidak boleh berkahwin dengan individu yang belum Muslim.

"Apabila kita lihat isu perkahwinan antara seorang individu Muslim dan seorang individu yang belum Muslim, saya tidak akan letakkan tanggungjawab itu pada individu yang belum Muslim.

"Sebab ini antara soalan yang sering ditanya iaitu kenapa mereka tidak boleh berkahwin dalam keadaan kedua-dua mereka kekal dengan agama masing-masing. Saya kata untuk mereka yang Muslim, mereka sebenarnya tak ada pilihan.

"Sebab ALLAH berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud 'Seorang Muslim lelaki tidak boleh mengahwini perempuan-perempuan musyrik walaupun dia menawan'," katanya.

Justeru jelasnya, seandainya terjadi perkahwinan campur seperti yang dikatakan berlaku di India dan Indonesia, tanggungjawab itu terletak pada bahu mereka yang beragama Islam dan bukan pada pasangan mereka yang belum beragama Islam.