Jumlah pengguna bas ekspres di Kelantan meningkat selepas PKPB

Ops Bersepadu Khas Ambang Tahun Baru 2021 yang dijalankan malam tadi.
Ops Bersepadu Khas Ambang Tahun Baru 2021 yang dijalankan malam tadi.
A
A
A

KOTA BHARU – Jumlah pengguna yang memilih pengangkutan bas meningkat sebanyak 57.3 peratus selepas penarikan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan, kata Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf.

Menurutnya, semasa PKPB dilaksanakan, penumpang bas ekspres hanya mencatatkan jumlah seramai 19,500 orang untuk sebulan namun ia meningkat kepada 71,840 orang apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dikuatkuasakan semula.

"Sepertimana yang kita ketahui, sepanjang PKPB syarikat bas ekspres tidak beroperasi dan tiada pergerakan keluar dan masuk dari negeri itu. Namun selepas tamatnya PKPB dan kembali bermulanya PKPP, kita dapati operasi bas ekspres berjalan seperti biasa.

“Merujuk kepada rekod pergerakan bas masuk ke sini (Kelantan) adalah sebanyak 30 trip sehari manakala trip keluar pula adalah sebanyak 32 trip," katanya kepada pemberita selepas Ops Bersepadu Khas Ambang Tahun Baru 2021 di sini pada malam Khamis.

Katanya, bagaimanapun penumpang dan pengusaha juga perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk mengutamakan keselamatan terutama patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan malah JPJ sendiri sentiasa melaksanakan operasi dan pemantauan secara berkala bagi memastikan tidak ada penumpang mahupun pengusaha yang lalai dalam mematuhi peraturan tersebut.

Hanif (kanan) memeriksa sebuah motorsikal yang ditahan dalam Ops Bersepadu Khas Ambang Tahun Baru 2021 yang dijalankan malam tadi
Hanif (kanan) memeriksa sebuah motorsikal yang ditahan dalam Ops Bersepadu Khas Ambang Tahun Baru 2021 yang dijalankan malam tadi

Dalam perkembangan lain, Hanif Yusabra memberitahu, sebanyak 316 saman dikeluarkan melalui Ops Bersepadu Khas Ambang Tahun Baru 2021 yang dijalankan malam Khamis melibatkan pelbagai kesalahan jalan raya.

“Sebanyak 1,211 buah kenderaan diperiksa dan saman-saman yang dikeluarkan melibatkan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Kaedah-kaedah di bawahnya dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Artikel Berkaitan:

“Kita menurunkan 70 pegawai dan anggota termasuk dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan Negeri, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Untuk rekod tahun 2020, JPJ Kelantan memeriksa sebanyak 78,186 buah kenderaan dan mengambil tindakan sebanyak 16,950 buah kenderaan.

Sebanyak 29,513 notis telah dikeluarkan kepada pengguna jalan raya dengan merekodkan kesalahan lesen memandu mencatatkan kesalahan tertinggi iaitu 7,218 kes diikuti dengan kesalahan teknikal 6,601 kes, lain-lain kesalahan 6,575 kes, kesalahan Lesen kenderaan Motor 5,620 dan tujuh kesalahan utama sebanyak 1,414 kes.

Tujuh kesalahan utama itu adalah seperti memotong dua garisan berkembar, memandu menggunakan telefon bimbit, gagal patuhi isyarat merah, memandu di lorong kecemasan, memandu melebihi had laju, tidak memakai tali pinggang keledar dan tidak memakai topi keledar.