PPZ-MAIWP kutip RM756 juta zakat tahun lalu

 Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

PUTRAJAYA,- Jumlah kutipan zakat yang dikendalikan Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bagi tahun 2020 meningkat sebanyak 11 peratus kepada RM756 juta berbanding RM682 juta pada tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jumlah kutipan zakat bagi tahun 2020 merupakan yang terbaik dalam sejarah penubuhan PPZ-MAIWP sejak 30 tahun yang lalu.

"Saya bersyukur kepada Allah kerana kutipan zakat telah menunjukkan peningkatan yang amat luar biasa walaupun ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

"Sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas MAIWP, saya telah melihat kesungguhan yang ditunjukkan oleh seluruh warga kerja PPZ-MAIWP dalam menggerakkan usaha dakwah zakat dan menyantuni pelbagai lapisan masyarakat melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), Khaira PPZ terutamanya di waktu yang sukar ini," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ahli Lembaga Pengarah PPZ-MAIWP yang diterajui oleh Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee, barisan pengurusan yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Ahmad Shukri Yusoff dan seluruh warga kerja PPZ-MAIWP atas pencapaian itu.

Zulkifli berkata, beliau bersama agensi-agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri bertekad untuk terus menyantuni para asnaf dengan sebaiknya.

"Setiap sen yang diperoleh akan diagihkan seadilnya kepada mereka yang memerlukan. Keyakinan dan kepercayaan umat Islam di Wilayah Persekutuan kepada kredibiliti MAIWP sebagai institusi yang menguruskan zakat akan terus saya pertahankan dengan penuh integriti.

"Insya-ALLAH, setiap asnaf akan terus dibela agar kesemua mereka dapat keluar dari belenggu kemiskinan dan kesukaran hidup," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: