Segera teroka kejuruteraan marin

A
A

LEWAT Januari lalu dunia bola sepak England dikejutkan berita kematian seorang pemain kelab Liga Inggeris berpangkalan di Wales, Cardiff City.

Pemergian bintang muda Argentina, Emiliano Sala yang dibeli daripada kelab Perancis, Nantes dengan harga £15 juta (RM79.70 juta) cukup mengharukan. Pesawat kecil Piper Malibu N264DB dinaikinya bersama juruterbang, David Ibbotson terhempas di Channel Islands, Selat Inggeris berdekatan pantai Perancis, Normandy. Untuk pengetahuan, Cardiff City dimiliki taikun Malaysia, Tan Sri Vincent Tan.

Berita kehilangan Piper Malibu N264DB tersebar cepat dan ada yang berjaya mengumpul dana sejumlah £340,000 (RM1.8 juta) untuk mencari bangkai pesawat kecil tersebut. Antara yang menawarkan diri untuk mengesan Piper Malibu N264DB ialah pemburu bangkai kapal lama di lautan samudera luas, David Mearns. Pengkaji lautan samudera ini berasal dari Weehawken, New Jersey, Amerika Syarikat dan berpangkalan di Britain.

Menggunakan kapalnya yang bernama Morven, Mearns – pemegang tiga Guiness World Records menemukan bangkai Piper Malibu N264DB masih dalam keadaan asli sekalipun menjangkakan pesawat kecil itu sepatutnya sudah berkecai di lautan dalam.

Dalam hal ini, penulis mengagumi semangat Mearns yang juga ketua pasukan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB). Penulis tertanya-tanya kepakaran beliau sehingga berjaya meneka dengan tepat kedudukan Piper Malibu N264DB.

Pada masa sama, penulis amat terkilan kerana sehingga kini pasukan marin Malaysia masih gagal mencari bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang empat tahun lalu. Kehilangan MH370 kekal misteri sekalipun didakwa terhempas selatan Lautan Hindi. Adakah Malaysia kekurangan pakar-pakar bidang kejuruteraan marin?

Sebenarnya perkataan laut telah disebut sebanyak 32 kali dalam kitab suci al-Quran berbanding perkataan ‘darat’ iaitu 13 kali. ALLAH SWT mengiaskan lautan samudera terkandung khazanah ilmu melebihi 70 peratus berbanding daratan. Keluasan permukaan laut juga lebih besar berbanding keseluruhan muka bumi.

ALLAH telah menyatakan di bawah laut ada ilmu yang harus digali melebihi sumber kekayaan dunia seperti makanan berkhasiat dan kekayaan sebagaimana dalam Surah An-Nahl [16:14] yang memberi maksud: “Dan Dia lah, ALLAH yang menundukkan lautan (untuk mu) agar kamu dapat memakan daripadanya daging yang segar (ikan), dan kamu mengeluarkan dari lautan itu perhiasan yang kamu pakai; dan kamu melihat bahtera berlayar padanya, dan supaya kamu mencari (keuntungan) dari kurnia-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”

ALLAH menyambung lagi bahawa lautan juga tersembunyi pelbagai kehidupan untuk dimanfaatkan sebagaimana kenyataan-Nya dalam Surah Fathir [35:12] bermaksud: “Dan tidaklah sama keadaan dua laut (sekalipun satu jenisnya), yang satu tawar lagi memuaskan dahaga serta sesuai diminum, sementara yang satu lagi masin lagi pahit. Dan (kedua-duanya itu berfaedah kepada kamu): dari tiap-tiap satunya kamu dapat makan daging yang lembut - hidup-hidup, dan dapat pula kamu mengeluarkan benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya; (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal membelah air belayar padanya; (diadakan semuanya itu) supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnia ALLAH, dan supaya kamu bersyukur.”

Surah Yassiin [36:42-45] juga mengingatkan kita tentang jenis kenderaan laut telah wujud daripada zaman Nabi Noh AS yang jelas maksudnya: “Dan Kami ciptakan untuk mereka yang akan mereka kenderaan seperti bahtera; Dan jika Kami menghendaki nescaya Kami tenggelamkan mereka, maka tiadalah bagi mereka penolong dan tidak pula mereka diselamatkan; Tetapi (Kami selamatkan mereka) kerana rahmat yang besar dari Kami dan untuk memberikan kesenangan hidup sampai kepada suatu ketika; Dan apabila dikatakan kepada mereka: Takutlah kamu akan seksa yang di hadapan mu dan seksa akan datang supaya kamu mendapat rahmat, (nescaya mereka berpaling).”

Besarnya khazanah laut sehingga ALLAH menegaskan dalam Surah Al-Kahfi [18:84-85] yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepadanya di (muka) bumi, dan Kami telah memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu; maka dia pun menempuh suatu jalan; Hingga apabila dia telah sampai ke tempat terbenam matahari, dia melihat matahari terbenam di dalam laut yang berlumpur hitam, dan dia mendapati di situ segolongan umat. Kami berkata: “Hai Zulkarnain, kamu boleh menyeksa atau boleh berbuat kebaikan terhadap mereka”.”

Dan, ALLAH menegaskan kepada manusia tentang tanggungjawab ini dalam Surah Al-Baqarah [2.48] bermaksud: “Dan jagalah dirimu dari (azab) hari (kiamat, yang pada hari itu) seseorang tidak dapat membela orang lain, walau sedikit pun; dan (begitu pula) tidak diterima syafaat dan tebusan daripadanya, dan tidaklah mereka akan ditolong.”

Sesungguhnya penulis amat terpukul dengan berita penemuan segera Piper Malibu N264DB. Tidak sampai sebulan, pesawat kecil tersebut ditemui, sedangkan kita di Malaysia masih menangisi kehilangan MH370. Justeru, penulis ingin mencadangkan semua pihak khususnya universiti berperanan menawarkan kursus kejuruteraan marin kerana ia adalah ilmu yang mesti digali dan dipelajari.

Apatah lagi, Malaysia dikelilingi hampir 90 peratus lautan besar. Oleh kerana itu, penulis berharap lebih ramai masyarakat Malaysia mesti meniru semangat Panglima Awang Hitam atau Henry the Black atau Enrique of Malacca `terjun ke lautan samudera’ untuk meningkatkan kepakaran bidang kejuruteraan marin bagi menyingkap seribu rahsia untuk kesejahteraan ummah.

Cerita kehebatan Panglima diakui peneroka Portugis, Ferdinand Magellan belum disahihkan. Bagaimanapun, segelintir pengkaji sejarah termasuk Antonio Pigafetta mengakui kehebatan Panglima Awang. Sejarawan Austria, Stefan Zweig pula percaya Panglima Hitam manusia pertama yang mengelilingi dunia.

* Penulis adalah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (Unisel)


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.