Bot karam: 4 nelayan ditemui, seorang lagi masih hilang

Abdul Rozak
Abdul Rozak
A
A
A

BESUT - Seramai empat daripada lima nelayan yang dilaporkan hilang di laut selepas bot yang mereka naiki karam berhampiran perairan Pulau Perhentian, malam Khamis, ditemui selamat.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohammad berkata, tekong bot iaitu Tuan Azaha Tengku Long, 47, dari Pasir Putih, Kelantan dan tiga awak-awak iaitu Tuan Azrizal Tuan Azhar, 19, (Pasir Putih, Kelantan); Mohd Azri Mohd Rosdi, 28, (Tok Bali, Kelantan) dan Ujang, 40, telah dijumpai di Pantai Coral View, Pulau Perhentian Besar pagi Jumaat.

Menurutnya, kesemua mangsa yang memakai jaket keselamatan, ditemui penduduk kampung dan telah dibawa ke Klinik Pulau Perhentian untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Seorang lagi mangsa iaitu Saari Saleh, 40-an, berasal dari Terengganu masih belum ditemui.

"Usaha mencari dan menyelamat di laut sedang giat dijalankan oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan polis marin di lima batu nautika dari kawasan kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Lima nelayan terbabit dipercayai daripada Pasir Putih, Kelantan keluar untuk menangkap ikan di sekitar perairan Terengganu.

Bagaimanapun, bot yang dinaiki karam berhampiran Pulau Perhentian kira-kira jam satu tengah hari, Khamis.

Kejadian itu berlaku akibat daripada bot yang dimasuki air, disyaki bocor dan keadaan cuaca yang kurang baik.

Artikel Berkaitan:



ARTIKEL BERKAITAN: Bot karam, lima nelayan hilang di laut