[VIDEO] Ombak besar membadai pantai di Terengganu

Tangkap layar video tular keadaan sampah sarap yang turut dibawa arus ke atas laluan utama di pantai Seberang Takir, di Kuala Nerus, malam tadi.
Tangkap layar video tular keadaan sampah sarap yang turut dibawa arus ke atas laluan utama di pantai Seberang Takir, di Kuala Nerus, malam tadi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – [DIKEMASKINI] Ombak besar serta angin kencang yang melanda sebahagian besar pantai di Terengganu bermula malam Jumaat mengakibatkan beberapa kawasan terjejas terutama di pesisir pantai.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, kawasan pantai yang terlibat ialah di daerah Besut, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Katanya, kesan fenomena itu menyebabkan 36 mangsa daripada sembilan keluarga di Kuala Besut dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Pantai akibat kediaman mereka dinaiki air.

“Fenomena air pasang tinggi menyebabkan sehingga ke atas jalan raya dan turut membadai kawasan kediaman. Ia turut menyebabkan sebuah keluarga di Pantai Mengabang Telipot, Kuala Nerus dipindahkan ke kawasan lebih selamat.

“Limpahan air laut turut berlaku di Pantai Teluk Lipat, Dungun serta jalan utama di pantai Seberang Takir yang membawa sebahagian sampah sarap, pasir dan batu kecil.

"Bagaimanapun, tiada kerosakan struktur dilaporkan berlaku setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, air pasang besar setinggi 2.5 hingga 2.70 meter serta angin kencang bertiup antara 40 hingga 50 kilometer (km) sejam dijangka berlarutan sehingga 6 Januari nanti.

Sehubungan itu katanya, pihaknya telah meminta kerjasama pihak polis untuk mengawasi kawasan berisiko termasuk menutup sebahagian jalan di pantai Seberang Takir daripada dikunjungi ramai.

Artikel Berkaitan:

“Difahamkan ramai yang datang ke pantai Seberang Takir untuk melihat keadaan di situ. Pihak sekretariat bencana serta pihak polis memantau keadaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Berdasarkan jangkaan, malam ini juga diramalkan berlaku keadaan sama iaitu ombak pasang besar dan kita nasihatkan orang awam menjauhi kawasan berisiko,” katanya.