X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Penjawat awam perlu lebih cemerlang 2021

Mohd Zuki
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengajak semua penjawat awam menjadikan tahun 2021 ini sebagai Tahun Lonjakan Kecemerlangan Sektor Awam.

Menurutnya, lonjakan kecemerlangan itu perlu digerakkan menerusi pemantapan modal insan dengan kompetensi masa depan, pengukuhan organisasi lebih fleksibel, pengurusan dan pembangunan projek yang pantas serta berimpak tinggi.

Selain itu katanya, penyampaian perkhidmatan juga perlu berteraskan teknologi digital dan revolusi industri 4.0 dan ia selaras dengan harapan serta cabaran yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Lonjakan kecemerlangan ini pula perlu dilaksanakan berasaskan nilai-nilai ‘Kepercayaan Untuk Berkhidmat’ dan dipacu oleh prinsip F.A.S.T.E.R atau flat, agile, streamlined, tech-enabled, efficient and resilient yang sering saya nyatakan sebelum ini.

“Meskipun kita masih berusaha mengimbangkan kepentingan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dengan kesihatan serta ancaman wabak, namun saya percaya senja pandemik yang kelam pada tahun 2020 akhirnya akan sirna dan fajar masa depan baharu yang lebih cerah akan terus bersinar pada tahun 2021 ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook.

Mohd Zuki berkata, 2020 telah melabuhkan tirainya dengan seribu satu episod cabaran yang penuh mehnah (sengsara) dan rintangan serta ujian, namun berjaya diharungi bersama.

Ia bermula dengan usaha mengekang pandemik Covid-19 yang menyaksikan kerajaan terpaksa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan serta memastikan setiap rakyat Malaysia terus kekal berdaya tahan menerusi strategi ekonomi dan sosial yang efisien dan pantas.

“Kita kemudiannya terus mengorak langkah proaktif memulihkan ekonomi yang terjejas menerusi empat inisiatif utama iaitu Prihatin, Prihatin Tambahan, Penjana, Kita Prihatin dan pelaksanaan Belanjawan 2021 yang telah diluluskan oleh sidang Parlimen baru-baru ini,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam merangkumi petugas barisan hadapan serta di sebalik tabir seperti yang menguruskan logistik dan sumber manusia kerana bertungkus-lumus mendepani cabaran pandemik Covid-19.

“Anda adalah sebenar-benarnya Wira dan Wirawati Negara,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!