MARDI Kelantan lahir 40 usahawan

Che Abdullah (dua dari kanan) melihat produk yang dikeluarkan MH Mohd Industries Sdn Bhd di Morak, Tumpat di sini pada Khamis.
Che Abdullah (dua dari kanan) melihat produk yang dikeluarkan MH Mohd Industries Sdn Bhd di Morak, Tumpat di sini pada Khamis.
A
A
A

TUMPAT - Seramai 40 usahawan berjaya dibimbing Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) Kelantan termasuk menyediakan bantuan geran RM775,000 sejak 2015.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, usahawan tersebut juga telah berjaya menghasilkan nilai jualan kasar sehingga jutaan ringgit.

“Berdasarkan nilai jualan kasar tahunan, seramai 17 usahawan berada pada tahap tiga iaitu mempunyai pendapatan RM100,000 hingga RM300,000 manakala 21 usahawan berjaya membuat jualan kasar tahunan di tahap empat iaitu melebihi RM300,000 hingga RM5 juta.

“Selain itu kita turut melahirkan seramai 38 orang agropreneur muda yang dibangunkan MARDI Kelantan dengan geran berjumlah RM577,400.

“Ini satu pencapaian yang hebat dan kejayaan ini perlu diteruskan pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Touchpoint Kepada Usahawan Bimbingan, Agropreneur Muda dan Peserta Rezeki Tani MARDI Kelantan di MH Mohd Industries Sdn Bhd di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan Geran Pemadanan (HIP) kepada Pengasas MH Mohd iaitu Muhamad Yusoff berjumlah RM150,000.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, pelaksanaan Azam Tani atau Rezeki Tani di MARDI Kelantan pula berjaya membimbing 508 peserta yang mengusahakan tanaman, ternakan, perniagaan hasil pertanian, industri asas tani, perkhidmatan pertanian dan sebagainya.

Pada tahun lalu, katanya, seramai 14 peserta menerima bantuan peralatan dan latihan dengan peruntukan RM140,000 manakala tahun ini pula seramai 11 peserta sedang dibantu dengan peruntukan bernilai RM110,000.

“Ini adalah bukti kejayaan daripada perkhidmatan yang disediakan oleh MARDI yang merangkumi khidmat nasihat teknikal serta bimbingan berkaitan teknologi, inovasi dan membantu dalam permohonan untuk mendapatkan geran-geran yang bersesuaian bagi peningkatan daya pengeluaran serta melaksanakan kursus dan latihan,” katanya.

Che Abdullah turut melakukan lawatan ke Akif Cafe, syarikat Berkat Rezeki Yieana, Fatin Licious Legacy dan akhirnya di MH Mohd Industries Sdn Bhd.