Ibtisam Mart jual produk halal tular

Anwar (kiri) dan Amal menunjukkan produk halal tular yang dijual di Ibtisam Mart di Bandar Baru Selayang, Batu Caves.
Anwar (kiri) dan Amal menunjukkan produk halal tular yang dijual di Ibtisam Mart di Bandar Baru Selayang, Batu Caves.
A
A
A

TATKALA banyak agensi pelancongan dan umrah gulung tikar disebabkan impak penularan Covid-19, Ibtisam Travel & Tours Sdn Bhd mengorak langkah meneroka perniagaan baharu dengan membuka kedai runcit Ibtisam Mart yang menjual pelbagai produk halalan toyyiban termasuk daging sejuk beku.

Lebih unik, majoriti produk halal dijual itu adalah yang tular di media sosial seperti produk daging beku jenama Khayr, daging tempatan ‘primal cut’, kuih muih sejuk beku pelbagai jenama seperti Tisha’s, Lariz dan Akmal Food, produk industri kecil dan sederhana (IKS) serta produk dari timur tengah seperti kurma, madu, kekacang dan lain-lain.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ibtisam Travel & Tours Sdn Bhd, Ustaz Anwar Hassan berkata, Ibtisam Mart dibuka sejak 1 Disember lalu supaya syarikatnya bukan hanya dapat meneruskan kelangsungan perniagaan tetapi untuk memberi kemudahan kepada pengguna mendapatkan produk halal.

“Setakat ini rata-rata pelanggan yang datang mengakui Ibtisam Mart lain dari lain kerana ia menjadi kedai yang menghimpunkan banyak produk ‘viral’ yang sememangnya dicari orang ramai.

“Untuk mengembangkan lagi perniagaan, kita juga sedang mendapatkan lesen untuk menjual barang kawalan seperti beras dan tepung gandum agar pengguna dapat beli barangan keperluan harian di kedai ini. Kedai ini juga akan diperbesarkan lagi,” katanya ketika ditemu bual di Ibtisam Mart di Bandar Baru Selayang, Batu Caves pada Rabu.

Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Pengajian Islam Universiti Yarmouk, Jordan itu, pihaknya juga akan memasarkan semua produk yang dijual dalam platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan Pandamart serta menyediakan servis penghantaran ke serata negara melalui kaedah kiriman pos dan kurier.

Malah katanya, ‘cash on delivery’ (COD) turut disediakan bagi kawasan terpilih.

Ibtisam Travel & Tours Sdn Bhd diasaskan bapa Anwar yang juga penceramah bebas disegani, Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz sejak tahun 1982 dengan menyediakan pakej pelancongan, umrah serta khidmat badal haji dan ketika ini syarikat tersebut diuruskan sepenuhnya oleh Anwar, 45, dan adik perempuannya, Amal, 38, yang bertindak sebagai pengurus besar syarikat.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut tentang produk jualan dan perkhidmatan yang ditawarkan Ibtisam Travel & Tours Sdn Bhd boleh melayari media sosial syarikat itu iaitu laman Facebook Ibtisam Mart, Trip Percutian Bajet dan Ibtisam Travel & Tours Sdn Bhd Official atau Instagram Ibtisammart dan Ibtisam2u.