Bila rokok seludup jadi pilihan

No Image Caption
A
A
A

“PAKCIK, rokok ada?” “Ada. Nak murah atau yang mahal? Yang murah pun dah mahal sebab stok makin kurang. Banyak operasi sekarang.”

Demikian dialog yang saya dengar di sebuah kedai di sebuah kampung baru-baru ini ketika hendak membeli barang. Ada pilihan rokok murah dan rokok mahal pula sekarang ini.

Rokok murah merujuk kepada rokok seludup yang dijual di ‘bawah kaunter’, rokok mahal pula ialah rokok berjenama popular yang dicukai.

“Dah tentulah rokok murah, rokok John baru RM4 sekotak. Buat apa beli mahal-mahal, asalkan berasap sudahlah. Kalau beli jenama popular, dekat RM18 sekotak,” kata lelaki itu sambil beredar.

Teringat masa ‘curi-curi’ merokok ketika di Sekolah Menengah Kampung Soeharto (SMKS) pada pertengahan tahun 80-an dahulu. Harga sebatang rokok Dunhill baru 15 sen. Kami gelar rokok batang dalam tin.

Boleh beli di kedai Mami yang terletak berhampiran sekolah.

Kalau yang kotak tujuh batang baru 90 sen. Bila ada duit lebih sikit hasil jual biji kelapa sawit, bolehlah beli kotak 14 batang harga RM1.40. Itupun sudah dikira mahal ketika itu.

Saya mula belajar merokok ketika Tingkatan Dua. Kononnya merokok lambang cool bagi seorang lelaki sejati. Nasib baik tak pernah ‘kantoi’ dengan cikgu kerana hisap rokok dalam tandas sekolah.

Artikel Berkaitan:

Ketika cuti semester di Universiti Malaya dulu, saya sempat bekerja sementara di sebuah syarikat rokok di Petaling Jaya. Upahnya lumayan tapi satu badan berbau rokok. Sekarang pun masih curi-curi hisap rokok. Isteri cukup benci dengan bau rokok. Busuk katanya.

Arwah atuk dulu hisap rokok Benson & Hedges. Jenama yang popular suatu ketika dulu selain Tiga Lima (555), White Horse dan Signal. Pernah juga saya curi rokok atuk kerana keinginan untuk merokok tapi tak ada duit nak beli.

Selalu juga atuk hisap ‘lenteng’ atau rokok gulung. Tembakau, cengkih dan gunting diletak dalam kotak khas. Sambil hisap rokok dia baca akhbar Utusan Melayu dan air kopi.

Kadang-kadang atuk hisap rokok keretek Gudang Garam. Habis berlubang-lubang baju melayunya.

Abah pula hisap rokok More. Kadang-kadang Perilly's. Jenama ini berharga agak murah berbanding jenama lain. Dulu abah penghisap rokok yang tegar. Memang menakjubkan bila abah boleh berhenti menghisap rokok.

Semakin hari, harga rokok pun semakin naik. Harga rokok Dunhill RM17.40 sekotak. Nampak gayanya tidak akan turun, melainkan akan terus naik.

Ini membuatkan ramai yang mula beralih mencari altenatif lain yang lebih rumah dan menjimatkan iaitu rokok seludup.

Rasa rokok seludup barangkali tidak sama dengan rokok yang berjenama tetapi harganya lebih murah. Ada juga yang menukar citarasa kepada rokok elektronik atau vape, tapi taste tidak sama seperti rokok.

Pada tahun 2021 kerajaan akan mengenakan cukai kepada rokok elektronik termasuk vape serta cecair, sudah tentunya harganya juga akan naik.

Hari ini hanya mereka yang berkemampuan sahaja yang layak menghisap rokok berjenama.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mencadangkan agar harga rokok kembali diturunkan serendah RM8, agar dapat bersaing dengan rokok seludup yang begitu berleluasa.

Menurut Ahmad Maslan, data yang diperolehi mendapati 64 peratus rokok yang terjual di pasaran tempatan adalah rokok seludup manakala rokok sah hanya 36 peratus.

Ini menyebabkan negara kerugian RM5 bilion setahun!

Seorang rakan, Hafis Ismail berkata, dia memang nak beli rokok berjenama yang dihisap sejak zaman sekolah dulu, tetapi ‘poket rabak’ dibuatnya.

“Jika kerajaan turunkan cukai mesti aku kembali hisap rokok sah. Kerajaan kena wujudkan situasi menang-menang, jika tidak aku dan kawan-kawan memang terus beli rokok seludup,” kata Hafis.

Lebih membimbangkan bila laporan Euromonitor International meletakkan Malaysia menduduki carta teratas dunia dalam pasaran rokok seludup.

Seorang penulis kolum, Luca Bertoletti berkata, cadangan harga rokok diturunkan perlu dipertimbang secara praktikal, bukan emosi bagi membantu menangani isu ini.

Apapun saya ucapkan selamat tahun baharu kepada semua pembaca Sinar Harian. Kita perlu melangkah ke tahun 2021 dengan semangat dan penuh keazaman.

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Sinar Harian