Cabaran botak kepala, ada sesiapa mahu ikut Syed Saddiq?

Syed Saddiq
Syed Saddiq
A
A
A

PEMIMPIN kena berpegang pada janji meskipun janji itu berbentuk populis.

Cabaran botak kepala yang dibuat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuktikan beliau seorang pemimpin yang berpegang pada janji.

Cabaran itu dibuat berikutan inisiatif beliau yang berjaya mengumpul kutipan sumbangan melebihi sasaran awal RM200,000 bagi tujuan membeli komputer riba untuk keluarga susah di kawasan Parlimen Muar.

Botak kepala bukan isunya kerana ramai lelaki maskulin bangga dengan status kepala botak.

Bagi Merak Jalanan, tindakan populis itu sesuai dengan golongan muda seperti Syed Saddiq yang suka melakukan sesuatu cabaran secara terbuka untuk tontonan umum.

Ia bukan perkara baharu kerana sebelum ini juga ramai pengguna media sosial yang berjanji akan membotakkan kepala sekiranya hantaran atau gambar mereka mendapat sejumlah tanda suka ataupun ribuan komen.

Apa yang perlu diberi perhatian adalah seorang pemimpin mengotakan janjinya selepas hasratnya tercapai.

Merak Jalanan yakin tindakan Syed Saddiq sedang memberi mesej kepada orang ramai bahawa anak muda tidak gentar berjuang dan akan mengotakan janji mereka meskipun terpaksa mengorbankan aset peribadi.

Artikel Berkaitan:

Syed Saddiq merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) maka Merak Jalanan yakin rakyat masih ingat kepada Janji 100 Hari PH yang dianggap gagal.

Apabila Syed Saddiq keluar daripada PH, beliau tidak lagi terikat dengan bos besar dan cabaran botak kepala itu membuktikan beliau seorang pemimpin yang berpegang pada janji.

Jika ditakdirkan satu hari nanti beliau diangkat sebagai Perdana Menteri, sudah pasti apa janji yang dibuat akan tertunai.