Peluang baharu, tahap baharu

Ouyang Yujing
Ouyang Yujing
A
A
A

HUBUNGAN saya dengan Malaysia sudah lama terjalin sejak saya kunjungi Malaysia beberapa kali pada masa dahulu.

Saya kagum dengan negara ini yang penuh dengan tenaga, keindahan alam sekitar, kepelbagaian budaya, dan rakyat yang ramah mesra, semuanya meninggalkan kenangan manis kepada saya.

Pada masa itu, saya tidak sangka cerita saya dengan Malaysia akan dilanjutkan selepas beberapa tahun kemudian.

Saya ingat pada tahun 2014, panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang yang melambangkan persahabatan China-Malaysia telah tiba di Malaysia dari Sichuan, China untuk menjalani kehidupan baharu di luar negeri sendiri.

Saya dimaklumkan bahawa pasangan panda itu telah melahirkan dua anak panda iaitu Nuan Nuan dan Yi Yi dalam masa enam tahun.

Malaysia memanglah tanah yang sungguh bertuah.

Sepanjang enam tahun kebelakangan ini, kerjasama strategik komprehensif China-Malaysia telah berkembang secara subur lagi sihat seperti panda itu, kerjasama pragmatik antara kedua-dua negara yang merangkumi pelbagai bidang telah membuahkan banyak hasil.

Beberapa tahun lalu, saya mungkin hanya seorang pelawat kepada Malaysia. Beberapa tahun kemudian, saya diberi amanah untuk memegang jawatan Duta Besar China ke Malaysia yang ke-16, dan memikul tanggungjawab untuk mewariskan dan menyuburkan persahabatan China-Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Memandangkan tahap hubungan China-Malaysia yang sedia ada, amanah ini adalah suatu penghormatan besar bagi saya. Saya juga sedar akan tanggungjawab dan tekanan yang berada di bahu saya.

Perubahan situasi global dan wabak Covid-19 sedang berlaku, ketidaktentuan pembangunan dunia telah membawa cabaran kepada pembangunan dan kestabilan kedua-dua negara kita. Bagaimanapun, harapan berada di sisi cabaran.

Kita mesti mara ke hadapan dengan keberanian.Tahun baharu bermakna permulaan baharu. Tahun 2021 sudah membuka tirai.

Projek ECRL di Pantai Timur dikatakan lambang hubungan erat China-Malaysia.
Projek ECRL di Pantai Timur dikatakan lambang hubungan erat China-Malaysia.

Saya ingin mewakili Kedutaan China di Malaysia untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada seluruh rakyat Malaysia serta rakan-rakan yang memerhati dan menyokong perkembangan hubungan China-Malaysia.

Momentum

Saya percaya, tahun baharu akan menyuntik momentum baharu kepada kerjasama menang-menang antara China dan Malaysia sekali gus membuka lembaran baharu dalam persahabatan China-Malaysia.

Pada tahun baharu, China dan Malaysia akan mendepani peluang baharu.

China akan memulakan ‘Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-14’, merealisasikan ‘Matlamat 100 Tahun Yang Pertama’ (membina masyarakat makmur sederhana secara menyeluruh menjelang ulang tahun ke-100 pendirian Parti Komunis China pada tahun 2021), sambil terus berusaha untuk mencapai ‘Matlamat 100 Tahun Yang Kedua’ (membangunkan negara sosialis yang moden menjelang ulang tahun ke-100 penubuhan Republik Rakyat China pada tahun 2049).

China akan mempercepat penubuhan corak pembangunan baharu ‘dua peredaran’, iaitu peredaran ekonomi domestik memainkan peranan utama, dengan peredaran ekonomi antarabangsa saling bergantung dan mendorong.

Ini akan merangsangkan potensi pasaran domestik yang besar dan mencapai tahap keterbukaan yang lebih tinggi, luas lagi mendalam.

Malaysia pula dalam proses merangka Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang akan menjelaskan hala tuju untuk memulihkan ekonomi dan mengembangkan negara.

Dengan keperluan pembangunan yang selaras, China dan Malaysia merupakan sepasang rakan yang serasi.

Sebagai negara jiran yang mesra kepada China dan rakan kerjasama dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (B&R), Malaysia pasti akan mendapat manfaat daripada pembangunan China dalam bentuk peningkatan pelaburan dan peluang, dan juga berkongsi hasil pembangunan China.

Pada tahun baharu, kerjasama China-Malaysia akan menyambut pembangunan baharu. Kedua-dua negara kini bekerjasama dalam memerangi pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi.

Projek

Kedua-dua negara akan terus berusaha untuk mempercepat projek-projek dalam Inisiatif B&R, termasuk ‘Taman Berkembar Dua Negara’, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk memacu momentum pembangunan secara berterusan.

Norma baharu akibat pandemik Covid-19 telah membuka bidang kerjasama baharu untuk kedua-dua negara. Pada era pascapandemik, e-dagang, ekonomi internet, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya akan menjadi bidang-bidang serba baharu yang mendorong kerjasama China-Malaysia.

Pada tahun baharu, persahabatan China-Malaysia akan mencapai tahap baharu. Imbau kembali, persahabatan China-Malaysia sentiasa berada di landasan pantas. Malaysia merupakan negara pertama di ASEAN yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan China.

Tidak kira apa perubahan berlaku dalam situasi dunia, persahabatan China-Malaysia kekal teguh dan kukuh. Berdepan dengan bencana atau cabaran, kedua-dua negara tetap memegang semangat ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.

Kini, rakyat kedua-dua negara bertungkus-lumus untuk mengekang penularan pandemik dan memulihkan ekonomi. Perasaan yang dikongsi dalam perjuangan yang sama akan mengeratkan lagi hubungan kita.

Persahabatan China-Malaysia akan melangkah ke hadapan dan mencapai tahap yang lebih tinggi.

Setiap pengakhiran adalah permulaan yang baharu. Pada tahun baharu, lebih banyak harapan kita punyai, lebih banyak usaha perlu kita curahkan, lebih banyak hasil akan kita saksikan.

China akan terus berpegang tangan dengan Malaysia demi mencapai manfaat bersama dan hasil menang-menang serta matlamat pembangunan bersama. Saya berkeyakinan penuh terhadap matlamat ini.

Bak kata pepatah China, ‘Hasil yang diingini memerlukan cita-cita dan usaha tanpa putus’.

Saya difahamkan bahawa terdapat peribahasa Melayu bermaksud “Rajin dan usaha tangga kejayaan”. Kunci kebahagiaan dan kejayaan adalah pada ketekunan, hal ini tiada kecualian.

Dalam tempoh bertugas di Malaysia, saya akan menikmati pelbagai keindahan negara ini, di samping bekerjasama dengan kawan-kawan Malaysia untuk melangkah ke depan, meneruskan kejayaan kita dalam mewariskan dan menyuburkan kerjasama China-Malaysia.

Bersama-sama, kita akan membina hari esok yang lebih indah untuk hubungan China-Malaysia.

* Ouyang Yujing ialah Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia