X

Kindly register in order to view this article
!

Perjanjian rekaan selindung bayaran rasuah kepada Rosmah: Pendakwaan

Rosmah - Foto fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Satu perjanjian rekaan digunakan untuk melindungi pembayaran rasuah daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin kepada Datin Seri Rosmah Mansor, kata pihak pendakwaan.

Pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, tujuan perjanjian tersebut dibuat adalah untuk menutup pembayaran rasuah yang akan diterima Rosmah.

"Perjanjian itu disediakan untuk menyembunyikan hakikat sebenarnya pembayaran oleh Saidi yang merupakan saksi pendakwaan ke-17 kepada tertuduh. Ungkapan ‘perundingan’ digunakan untuk menutup pembayaran rasuah," menurut pihak pendakwaan dalam hujah bertulis yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.

Rosmah, 69, berdepan dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi, upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu.

Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak itu bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu antara Mac dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua pula, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jejak Holdings mendapatkan projek itu pada 7 September 2017.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 10 Februari bagi kedua-dua pihak berhujah secara lisan sebelum memutuskan sama ada Rosmah dibebaskan daripada pertuduhan tersebut atau diperintahkan untuk membela diri.

Pihak pendakwaan yang menutup kesnya pada 11 Disember berhujah bahawa jika pembayaran berkenaan benar-benar merupakan sumbangan politik kepada suami Rosmah, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, maka tidak perlu berselindung di sebalik 'perjanjian perundingan'.

Dalam hujahnya, pihak pendakwa mengatakan, perjanjian untuk projek hibrid solar yang hilang, disediakan oleh saksi pendakwaan ke-20, ahli perniagaan, Lawrence Tee Kien Moon.

“Kien Moon adalah saksi yang jujur walaupun tuduhan perlakuan tidak beretika dilemparkan kepadanya, kredibilitinya tetap kekal. Keterangannya hanya mempunyai nilai bukti,” katanya.

Pendakwaan berhujah bahawa berdasarkan bukti, wang itu dihantar kepada Rosmah dalam dua situasi, pembayaran pertama RM5 juta dihantar ke kediaman rasminya dan pembayaran kedua sebanyak RM1.5 juta dihantar ke kediaman peribadinya.

Menurutnya, terdapat bukti bahawa tertuduh bercakap dengan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed dan pengganti Madinah, Datuk Seri Alias Ahmad, supaya mempermudah atau mempercepat pemberian kontrak itu kepada Jepak Holdings dan kemudian untuk mempercepat pembayaran kepada syarikat (Jepak Holdings).

"Bukti ini cukup untuk menyokong kes pendakwaan yang dituduh meminta suapan sebagai ganjaran kerana membantu Jepak mendapatkan kontrak solar," kata pihak pendakwa.

Pendakwaan berhujah bahawa keputusan Pendakwa Raya untuk mendakwa Rosmah dan mengemukakan bukti yang boleh diterima untuk membuktikan kesalahannya bukanlah pendakwaan yang selektif atau diskriminasi.

Dakwaan tertuduh mengenai pendakwaan selektif atau diskriminasi, yang dinafikan, bukan pembelaan terhadap tuduhan yang dihadapinya.

"Berdasarkan yang disebutkan di atas, Mahkamah yang mulia ini wajar membuat keputusan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie dan memerintah agar tertuduh dipanggil membela diri terhadap ketiga-tiga tuduhan," katanya.

Sementara itu, pihak pembelaan dalam hujah bertulisnya yang dikemukakan kepada mahkamah pada Isnin berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie kerana jelas Saidi adalah orang yang berhasrat dan menawarkan sumbangan politik kepada Rosmah.

Pihak pembelaan yang diketuai peguam, Datuk Jagjit Singh berhujah bahawa sumbangan politik itu adalah untuk Najib sebagai "tanda terima kasih" kerana menyokong permohonan oleh Jepak Holdings dan untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mengenai dakwaan perjanjian perundingan, pihak pembelaan mengatakan, Rosmah tidak mengetahui sama sekali mengenai dokumen itu yang kononnya disediakan Kien Moon dan Saidi dalam keterangan saksinya juga telah membuktikan bahawa idea untuk menyediakan perjanjian perundingan itu adalah idea saksi pendakwaan ke-20 (Kien Moon).

“Tidak ada bukti bebas di hadapan mahkamah bahawa tertuduh mengetahui tentang perjanjian perundingan yang dikatakan itu atau tertuduh telah melihatnya. Setelah perjanjian perundingan yang didakwa itu disediakan dan dimuktamadkan, pihak-pihak tersebut adalah Jepak dan sebuah syarikat bernama Lucky dari Taiwan (nama diberikan oleh Kien Moon) dan nama tertuduh tidak disebut sama sekali.

"Oleh kerana tertuduh tidak pernah mengarahkan dan namanya tidak disebutkan langsung dalam perjanjian perundingan yang dikatakan itu, tidak bolehlah dikaitkan dengan tertuduh," katanya.

Menurut pembelaan, tiada bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan untuk mengesahkan bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor (saksi pendakwaan ke-21) memang diperintahkan oleh tertuduh untuk meminta sogokan daripada Saidi.

Selain itu, pembelaan menyatakan bahawa sogokan yang dituntut melalui Rizal menunjukkan bahawa Saidi tidak mempunyai pengetahuan langsung dalam membuktikan bahawa Rosmah adalah orang yang meminta sogokan itu.

“Pihak pendakwaan gagal menunjukkan bukti yang boleh dipercayai dan bebas bahawa tertuduh meminta dan menerima wang rasuah. Kebenaran itu terungkap sepenuhnya melalui keterangan tiga saksi pendakwa utama Saidi, Rayyan Radzwill Abdullah (bekas rakan perniagaan Saidi) dan Rizal, apabila keterangan mereka saling bercanggah.

"Kes pendakwaan tidak menunjukkan tertuduh telah melakukan semua kesalahan seperti yang didakwa. Oleh itu, pembelaan tidak boleh dipanggil membela diri hanya untuk menjelaskan kes pendakwaan,” hujah pihak pembelaan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!