Perang AI agenda dunia

A
A
A

TAHUN 2021 pasti akan menyaksikan agenda perdana teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI).

Belum lagi masuk ambang 2021, AI kembali menjadi bahan bualan hangat.

Terbaharu, Amerika Syarikat dan China mengisytiharkan perang saraf tentang siapakah lebih menguasai AI.

AS merasakan ia sudah mengatasi China dalam sektor semikonduktor. Namun, Beijing tidak pernah mengambil pendekatan sudah selesa dan sentiasa cuba untuk mencabar penguasaan Washington.

Negara Tembok Besar China itu merasakan ia lebih mendominasi teknologi data raya dan jauh di hadapan AS.

Kini, wujud petanda betapa AS dan China tidak lagi berbicara soal sektor semikonduktor atau teknologi data raya. Sebaliknya dua kuasa besar tersebut mula meninjau potensi untuk mendepani status nombor satu dalam bidang senjata ketenteraan berorientasikan AI.

Beijing sudah pun berikrar menerusi Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA), untuk membentuk tentera bertaraf dunia.

AS sejak Perang Dunia Pertama dan disusuli Perang Dunia Kedua sudah mendabik sebagai kuasa terbesar dalam dunia ketenteraan dunia.

Artikel Berkaitan:

AS sentiasa bercita-cita tinggi dalam pembangunan dan pelaksanaan teknologi AI khususnya bidang ketenteraan udara.

AS menyasarkan status negara itu sebagai pemimpin dunia sektor AI menjelang 2030.Ketika ini, sepertinya China agak ketinggalan dalam bidang ketenteraan.

Akan tetapi China dilihat cuba memanipulasi objektifnya terhadap kemajuannya dalam bidang teknologi data raya.

Pasti, jumlah penduduk China seramai 1.4 bilion berbanding 320 juta di AS akan jadi faktor penentu. China mempunyai populasi empat kali ganda daripada AS. Ini bermakna syarikat teknologi China berpotensi menggunakan pangkalan data raya yang lebih besar daripada AS.

China juga melabur dengan rakusnya dalam perkakasan. Pada 2001, China langsung tidak mempunyai 500 superkomputer terpantas di dunia.

Namun tahun lalu, ia sudah memiliki 219 berbanding AS 116. Sebelum ini, superkomputer China sangat bergantung pada semikonduktor AS. Namun, hari ini, China jauh meninggalkan AS.Perlumbaan

Baru-baru ini, Presiden China, Xi Jinpang menggalakkan ahli akademik dan teknologi di negara tersebut agar meningkatkan penguasaan dan pertumbuhan baharu sektor inovasi teknologi.

Ini kerana sektor itu dijangka menjadi komponen terpenting dalam rancangan ekonomi jangka panjang negara tersebut yang masih mengamalkan fahaman komunis.

Akhbar Southern China Morning Post pernah memberi ruangan besar untuk laporan bertajuk ‘Hubungan China-Amerika: Kerjasama Untuk Mencegah Perlumbaan Senjata AI’.

Pakar ketenteraan AS dan China melihat wujud keperluan mendesak untuk mengembangkan norma-norma antarabangsa berkaitan AI.

Ini kerana persaingan strategik antara kedua-dua negara berkenaan pasti menimbulkan ketakutan kepada masyarakat dunia terhadap kemungkinan berlakunya perlumbaan pembikinan senjata perang jenis baharu berorientasi AI.

Al-Quran sebenarnya telah mendedah dan mengupas tentang perkara ini dalam Surah Al-Muddatstsir ayat 42-44.

Penulis berpendapat AS dan China sebenarnya harus bekerjasama untuk membina teknologi AI.

Mereka perlu membentuk jawatankuasa pentadbiran untuk menguruskan hubungan kedua-dua negara tersebut.

Jawatankuasa ini bertanggungjawab menghasilkan norma-norma antarabangsa seperti program penyelidikan bersama terkini dengan negara-negara membangun termasuk Malaysia.

Hasil penemuan penyelidikan bidang ketenteraan AI perlu melibatkan negara-negara selain AS dan China supaya keamanan dunia dapat dipelihara.

Keamanan dunia sebenarnya perlu dijadikan agenda perdana berbanding bicara siapakah kuasa besar bidang ketenteraan AI dunia.

* Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Pusat Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor