301 individu ingkar PKP ditahan

Ismail Sabri - Foto fail Bernama
Ismail Sabri - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 301 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Rabu, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, daripada jumlah yang ditahan itu, 298 dikenakan kompaun manakala tiga direman dengan kesalahan tertinggi direkodkan iaitu 149 atas kesalahan kegagalan mematuhi arahan penjarakan fizikal.

“Kesalahan ingkar arahan PKP yang lain iaitu tidak memakai pelitup muka melibatkan 77 individu; gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (63), aktiviti pusat hiburan (2) dan lain-lain (10).

“Bagi Op Benteng pula, seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong ditahan, selain turut merampas enam kenderaan darat,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan perlaksanaan PKP Pemulihan di sini pada Khamis.

Mengenai operasi sanitasi awam, katanya, sebanyak 36 operasi sanitasi meliputi 14 zon merah, empat (zon jingga), tujuh (zon kuning) dan dua (zon hijau) di sembilan negeri dan wilayah persekutuan pada Rabu.

Sementara itu, sehingga Rabu, seramai 94,967 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa, dengan 7,362 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: