X

Kindly register in order to view this article
!

Terima wang 1MDB: Anwar gesa bekas gabenor BNM beri penjelasan

Anwar
A
A

SHAH ALAM – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa bekas Gabenor Bank Negara memberi penjelasan terhadap dakwaan bahawa ahli keluarganya menerima wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerusi akaun mereka di Singapura.

Menurut beliau, skandal 1MDB tidak mungkin berlaku ‘tanpa persetujuan daripada pelbagai lembaga kewangan dan peraturan’.

“Beliau mesti memberi penjelasan tentang sebarang pengetahuan yang beliau ada saat kes 1MDB terdedah dan apakah ahli-ahli keluarganya turut mendapat manfaat kewangan hasil dari kesepakatan dengan Jho Low (Low Taek Jho).

“Kegagalan untuk menjawab persoalan-persoalan ini akan mewujudkan prasangka dan keraguan terhadap integriti pengawal selia kewangan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM digesa siasat kaitan bekas gabenor, Jho Low

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, maklumat terkini berhubung kemungkinan keterlibatan bekas gabenor dalam skandal 1MDB ini adalah berkait dengan pembekuan wang yang berasal dari dana haram 1MDB oleh pihak berkuasa di Singapura.

“Akaun-akaun luar pesisir yang berdaftar memberi petunjuk bahawa ia adalah milik ahli-ahli keluarga beliau.

“Beliau yang kini menjawat jawatan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) harus segera mengesahkan kenyataan-kenyataan yang dibuat sebelum ini terkait pengetahuannya tentang aliran dana haram 1MDB.

“Apakah atas kapasiti sebagai gabenor BNM, beliau telah dengan sedar membenarkan aliran dan transaksi masuk dan keluar dari akaun-akaun bank di Malaysia yang dimiliki oleh pemain-pemain politik,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, pertuduhan terbaharu mengaitkan keluarga bekas gabenor itu dalam kes 1MDB yang melibatkan transaksi dengan ahli perniagaan dikehendaki itu dan bank-bank di negara jiran Singapura menampakkan Malaysia masih jauh dalam mencari jalan keluar dari skandal berkenaan.

Katanya, imej dan reputasi buruk kepada negara kesan dari skandal ini masih belum pulih sepenuhnya.

“Mereka yang mendapat faedah dan laba dari kes 1MDB ini mesti dibawa ke muka pengadilan. Mereka yang bersekongkol mesti juga bertanggungjawab kerana tidak mungkin skandal maha dahsyat ini terwujud tanpa persetujuan dari pelbagai lembaga kewangan dan peraturan.

“Kegagalan untuk menghadapkan mereka ke muka pengadilan juga akan meletakkan Malaysia dalam keadaan terdedah kepada skandal semacam 1MDB di masa hadapan.

“Ia juga akan menjadikan Malaysia sebagai bahan gurau senda tatkala kita gah berbicara soal ketelusan, kebertanggungjawaban dan melawan rasuah,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan Singapura juga harus tampil dan memberi penjelasan kerana skandal ini akan memberi impak buruk kepada reputasi republik itu sebagai pusat kewangan terkemuka.

“Sejak penyiasatan terhadap 1MDB bermula, banyak negara telah melakukan yang sepatutnya, termasuk mengenakan denda dan penalti ke atas bank-bank dan para eksekutif kewangan yang bersekongkol dalam skandal ini.

“Walhal di Malaysia, tempat asal dana haram ini, masih belum berbuat apa-apa yang ketara dan meyakinkan,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!