Covid-19: Kes tertinggi penutup tirai 2020

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Menutup tirai 2020 sekali lagi kes baharu positif Covid-19 merekodkan angka tertinggi dengan 2,525 kes sejak pandemik itu melanda negara akhir Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini sebanyak 113,010.

"Kes aktif dengan kadar kebolehjangkitan adalah 23,598 kes," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, Selangor melaporkan 1,205 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu 32,393 kes.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 995 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan," katanya.

Beliau berkata, selepas beberapa seketika, kes di Sabah kembali melonjak dengan 299 kes dengan jumlah keseluruhan kes di negeri itu 37,040 kes.

"Melaka merekodkan 239 kes, diikuti Kuala Lumpur (222), Johor (194), Pulau Pinang (92), Negeri Sembilan (78), Labuan (63) Perak (33), Kedah (24), Terengganu (17) dan Pahang (15) kes.

"Putrajaya melaporkan lima kes manakala dua di Sarawak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 304 kes yang dilaporkan berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara.

"Ia membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan 285 kes, Kluster Pagar Siput (8), Kluster Tembok Mempaga (lima), Kluster Pagar Bentong (dua), Kluster Tembok Gajah (satu), Kluster Tembok (satu), Kluster Kolam Air (satu), dan Kluster Penjara Seberang Perai (satu)," katanya.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat 131 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Ia termasuk 60 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, sebanyak lapan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan yang membabitkan pesakit di hospital Semenanjung.

"Tiga kematian dilaporkan di Hospital Sungai Buloh, Selangor, dua di Johor dan masing-masing di Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan.

"Kesemua pesakit berumur 39 hingga ke 79 tahun itu mempunyai penyakit kronik," katanya.

Sementara itu, bilangan kes sembuh dilaporkan adalah 1,481.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 88,941 kes bersamaan 78.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.