X

Kindly register in order to view this article
!

Nasib Kashmir yang tidak diketahui

A
A

DUNIA sedang berdepan dengan serba cabaran yang berskala besar di luar dugaan dan tidak pernah disaksikan dalam sejarah.

Perkembangan pelbagai peristiwa sepanjang dua dekad, bermula kelahiran Israel 1948, revolusi Iran 1979, kejatuhan Kesatuan Soviet 1991, insiden September 11, 2001, serangan Amerika Syarikat ke atas Afghanistan 2001 dan Iraq 2003, kebangkitan Arab 2011 (melibatkan negara-negara Arab seperti Tunisa, Mesir, Libya, Syria, Yaman, Bahrain), dan berlakunya pelbagai konflik serantau yang lain, menandakan dunia akan terus bergolak tanpa henti.

Penindasan berterusan ke atas Muslimin di Kashmir, Palestin, China dan Myanmar, sasaran ke atas kaum Muslimin di India, dan serangan ekstremis di AS, UK dan Eropah, memperlihatkan wujud fenomena semakin terbelah antara Muslim dan bukan Muslim. Yang jelas kesengsaraan paling ketara akibat konflik dan krisis dunia, adalah ke atas kaum Muslimin. Musuh Islam sedang memanipulasi dan merekayasa supaya Islam dilihat sebagai agama pengganas dan Muslim disinonimkan sebagai teroris. Malangnya Muslimin diasakkan ke sudut dan seolah-olah tidak boleh berbuat apa-apa. Akibatnya jutaan umat Islam sengsara: diusir, diseksa, dinafikan hak manusia, menjadi pelarian dan dibunuh secara genosid dan penghapusan etnik.

Salah satu isu umat Muslim tertindas yang jarang mendapat perhatian dunia ialah di Kashmir.

Muslim Kashmir di wilayah Jammu-Kashmir yang sebahagian besarnya dikuasai oleh India sejak Oktober 1947 telah mengalami tragedi yang sangat berat tetapi tidak diangkat oleh media dunia secukupnya. Genosid yang telah berlaku ketika itu telah mengorbankan 300,000 hingga 500,000 Muslim Kashmir. Sejumlah yang sama telah hilang tempat tinggal sejak itu ketika menunggu implementasi Resolusi Majlis Keselamatan PBB mengenai konflik Kashmir. Sejak itu juga banyak pembunuhan massa Muslim Kashmir terjadi, ribuan wanita Kashmir yang dirogol dan dicabuli serta puluhan ribu lelaki Muslim Kashmir yang hilang dan akhirnya ditemui di ribuan kubur massa yang tidak bertanda dan tiada nama.

Bermula 9 Julai 2016, lebih dari 300 pemuda Kashmir syahid akibat tembakan dengan peluru hidup. Ribuan buta bila tentera India mengguna senapang pelet. Pada 1 April 2018 sahaja, tentera India membunuh 20 pemuda Kashmir bertujuan menyekat kebangkitan Muslim Kashmir. Labih 100,000 Muslim Kashmir terbunuh sejak 1989.

Harus diingat pejabat Suruhanjaya PBB mengenai Hak Manusia pada 14 Jun 2018 telah melaporkan pelanggaran hak manusia yang jelas di Jammu-Kashmir. Demikian juga terdapat laporan Amnesti Antarabangsa 2017 mengenai serangan sengaja oleh tentera India untuk membutakan pemuda Kashmir berjudul “Loosing Sight in Kashmir".

Tidak ketinggalan, penemuan dalam Laporan 2009, kubur massa tidak bertanda dan tidak bernama di beberapa daerah yang diterbit oleh J&K Ngo International People’s Tribunal (IPTK) berjudul “Buried Evidence". Sedemikian banyak pembunuhan massa yang dilakukan oleh tentera penceroboh sehingga sekarang, namun tidak disiasat dan didakwa pihak yang bertanggungjawab.

Salah satu operasi menyayat hati ialah perlakuan brutal merogol secara massa “Kunan Poshpora Mass Rape" yang berlaku pada 1991 dilaporkan oleh Suruhanjaya Hak Manusia OHCHR.

Statistik yang dikumpul tidak dapat dinafikan mengenai keganasan ke atas Muslim Kashmir. Dari 8 Julai 2016 hingga 30 September 2018, seramai 753 warga Kashmir telah dibunuh termasuk 80 kanak-kanak, 18 wanita, 56 mati dalam tahanan, lebih 200,000 tercedera, ribuan ditahan tanpa bicara, ratusan wanita dirogol atau dicabuli. Ini juga dilapor oleh lawatan mengumpul fakta OIC pada 27-29 Mac 2017.

Sementara itu terdapat lagi laporan pencarian fakta oleh ahli Parlimen semua parti (All Parties Parliamentary Group of Kashmir) yang juga menyatakan rekomendasi yang mengukuhkan cadangan dalam laporan OHCHR mengenai penindasan oleh tentera India ke atas warga Kashmir.

Jelas dengan tidak adanya tindakan untuk menyelesaikan krisis Kashmir, warga Kashmir akan terus menderita di samping keselamatan serantau akan terjejas. Ini termasuk resolusi Majlis Keselamatan PBB mengenai hak menentukan pentadbiran dan masa depan sendiri di bawah penyelenggaraan PBB masih tidak dilaksanakan.

Nasib warga Muslim Kashmir tidak banyak diketahui oleh masyarakat Malaysia dan juga warga lain. Kita perlu mengambil perhatian terhadap penderitaan mereka yang tidak dipedulikan oleh komuniti antarabangsa. Polisi kerajaan Malaysia terhadap isu Kashmir perlu dirangka dan pendekatan berdasar undang-undang antarabangsa perlu diambil sewajarnya. Sayangnya OIC kurang memberi perhatian serius terhadap isu umat Islam Kashmir.

Diskusi mengenai situasi terkini mengenai krisis Kashmir dan pelanggaran hak manusia di Jammu Kashmir yang dikuasai India sangat mendesak. Keganasan yang berterusan di wilayah tersebut masih berterusan dan perlu segera dihentikan. Menilai resolusi Majlis Keselamatan PBB, OIC dan polisi kerajaan Malaysia serta pemantauan terhadap nasib Muslim Kashmir yang ditindas perlu dilaksanakan.

Nasib Kashmir tidak boleh dilupakan.

* Penulis ialah Presiden majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu