Pelajar IPT dibenar kembali ke kampus mulai 1 Mac

Pelajar IPT dibenarkan kembali ke kampus secara berfasa seawal 1 Mac 2021. - Foto Bernama
Pelajar IPT dibenarkan kembali ke kampus secara berfasa seawal 1 Mac 2021. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan pelajar tempatan institusi pendidikan tinggi (IPT) untuk kembali ke kampus secara berfasa seawal 1 Mac 2021.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, bagi pelajar IPT dari kawasan zon merah, mereka dikehendaki masuk 10 hari lebih awal berbanding pelajar lain bagi menjalani proses pengasingan demi memastikan mereka bebas Covid-19.

Menurutnya, bagi IPT kawasan Sabah dan Sarawak, kemasukan pelajar tertakluk kepada prosedur yang diguna pakai oleh kerajaan negeri masing-masing.

"Keputusan membenarkan kemasukan pelajar ke IPT secara fizikal adalah bagi membolehkan pelajar mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka dan dalam talian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, keputusan ini juga selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kualiti pendidikan tinggi negara terjamin.

“Kementerian menyeru agar pelaksanaan aktiviti akademik di kampus dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Utamakan langkah keselamatan serta mengamalkan pembudayaan norma baharu seperti sentiasa memakai pelitup muka, memakai cecair pembasmi kuman dan menjaga penjarakan fizikal,” katanya.

Terdahulu, KPT menangguhkan pendaftaran secara fizikal pelajar IPT bagi kemasukan Oktober 2020 dan kumpulan pelajar lama yang kembali ke kampus susulan kebimbangan terhadap peningkatan kes Covid-19

Artikel Berkaitan: