Covid-19: Pengasuh taska punca Kluster Rambai

Rahmad (kiri) melihat tarikan terbaharu Zoo Melaka, Dinosour Encounter semasa membuat lawatan pematuhan SOP di Zoo Melaka di Ayer Keroh.
Rahmad (kiri) melihat tarikan terbaharu Zoo Melaka, Dinosour Encounter semasa membuat lawatan pematuhan SOP di Zoo Melaka di Ayer Keroh.
A
A
A

MELAKA - Seorang pengasuh Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di kawasan Bukit Rambai menjadi punca kewujudan Kluster Rambai yang kini telah menyebabkan 12 individu dijangkiti Covid-19 di negeri ini.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, setakat ini seramai 101 individu telah disaring dan daripada jumlah itu 87 adalah negatif manakala 12 positif dan tiga lagi masih menunggu keputusan.

Menurutnya, kluster baharu itu berpunca selepas pengasuh yang juga pemilik taska berkenaan pulang daripada bertemu saudaranya di zon merah Selangor sebelum menjangkiti ahli keluarga, kanak-kanak asuhan termasuk bayi yang turut disahkan positif.

"Keadaan masih terkawal dan kita juga telah mengarahkan tadika itu ditutup untuk tujuan pembersihan dan proses disinfeksi.

Kebanyakan peningkatan kes di negeri bukan disebabkan jangkitan tempatan namun mereka yang datang dan pulang dari zon merah, tetapi tidak menitikberatkan pematuhan SOP," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat lawatan pematuhan SOP di Zoo Melaka di Ayer Keroh pada Khamis.

Hadir sama yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman, Timbalan Pengarah Kesihatan Melaka (Kesihatan Awam), Dr Rusdi Bin Abdul Rahman dan Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis.

Sementara itu, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, beliau berpuas hati dengan segala persiapan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan untuk pengunjung dan menafikan meminta orang ramai yang mengunjungi Zoo Melaka pada minggu lalu membuat saringan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri tidak pernah mengeluarkan arahan tersebut dan apa yang ditularkan tidak benar, malah merupakan berita palsu yang sengaja mahu menakutkan pelancong datang ke tempat pelancongan itu.

Menurutnya, sehingga kini belum ada sebarang jangkitan Covid-19 yang dilaporkan di zoo dan pihak KKM akan terus memantau lokasi-lokasi pelancongan dan tumpuan ramai di negeri ini bagi memastikan pengunjung mematuhi arahan seperti penjarakkan fizikal dan memakai pelitup muka.

"Isu yang tular baru-baru ini sehingga menerima teguran Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disebabkan posisi gambar yang diambil dari sudut sisi sehingga menunjukkan seolah-olah tiada penjarakkan fizikal di antara pengunjung sedangkan pihak zoo sudah menyediakan pelekat penjarakkan fizikal satu meter di antara setiap keluarga," katanya.